Jangan cipta alasan tidak hadiri program tarbiyah

    TAMBUN: Ahli PAS hendaklah istiqamah meletakkan ketaatan tidak berbelah bahagi antaranya dengan menghadiri program-program tarbiyah yang telah ditetapkan oleh jamaah.

    Advertisement

    Naib Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Nasruha Mohd Zaki berkata, Muslimat PAS hendaklah mengelakkan daripada mencipta alasan bagi mengasingkan diri menghadiri program tarbiyah PAS.

    Perkara itu dikupasnya dalam Daurah Naqibat Dewan Muslimat PAS Tambun membawa topik Peranan Naqibat Melahirkan Tentera 12K yang bertempat di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, di sini kelmarin.

    “Usrah salah satu program tarbiyah yang Muslimat PAS perlu manfaatkan untuk menguatkan kefahaman kita dalam gerak kerja PAS ini. Istiqamah menghadiri usrah akan melahirkan amilat yang serius berjuang untuk PAS.

    “Muslimat PAS hendaklah membenamkan aura negatif yang hadir sebagai halangan menghadiri program tarbiyah PAS. Ini kerana jika kita terbiasa dengan alasan maka kita akan selesa untuk terus menerus beralasan agar tidak hadir program tarbiyah PAS.

    “Muslimat PAS juga hendaklah berkriteria persis spora yang sentiasa menyebarkan dakwah PAS biarpun apabila bergerak diluar Cawangan dan kawasan masing-masing,” ujar beliau.

    Nasruha juga mengingatkan agar Muslimat PAS sentiasa bertawakal kepada Allah dalam menghadapi cabaran gerak kerja PAS, kerana Allah pasti akan memberikan pertolongan buat pejuang agama-Nya.

    Muslimat PAS turut diserunya agar mengimpikan kematian dalam keadaan sedang meletakkan pengorbanan yang tinggi dalam perjuangan PAS agar mencapai husnul khatimah.

    Program diakhiri dengan pembentangan muhasabah usrah Muslimat Cawangan-cawangan di kawasan Tambun, serta sesi soal jawab bagi meneliti permasalahan yang dihadapi oleh naqibah usrah.

    Sebagai usaha pemantapan usrah, Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Tambun,  Ustazah Noraishah Abd Rahim akan membuat pantauan ke Cawangan-cawangan. – HARAKAHDAILY 3/11/2019