Ameerah Fan Club Indera Mahkota dilancarkan

    INDERA MAHKOTA: Ameerah Kawasan Indera Mahkota telah menganjurkan program ‘Strike Time’ bertempat di Premium Lanes Kuantan Plaza, di sini semalam.

    Advertisement

    Pertandingan mahabah boling julung kali ini mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila mengumpulkan seramai 100 peserta dalam kalangan Muslimat Muda.

    Selain mengeratkan hubungan ukhuwah sesama para peserta, program ini juga bertujuan memperkenalkan Ameerah Fan Club yang mahu dilancarkan bagi Parlimen ini.

    Pengarang Ameerah Negeri Pahang, Solehah Shah yang juga Ketua Ameerah Indera Mahkota memperkenalkan Ameerah sebagai sayap Wanita Muda di bawah naungan Dewan Muslimat PAS.

    Serunya, Wanita Muda mempunyai peranan penting untuk bergerak aktif dalam politik terutama melibatkan perkembangan semasa yang berlaku dalam negara.

    Perasmian penubuhan Ameerah Fan Club telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu yang juga Adun Beserah.

    Dalam ucapannya, beliau menekankan penglibatan Muslimat Muda dalam arena politik negara sangat penting, termasuk memainkan peranan dalam pembentukan generasi.

    Katanya, negara ini memerlukan pewaris masa depan dalam kalangan generasi muda yang berkaliber dan berkualiti dengan menjadikan Islam sebagai terasnya.

    Majlis sederhana tetapi meriah ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang dan cenderahati buat peserta yang hadir. – HARAKAHDAILY 4/11/2019