LASBELA PASTI Kota Samarahan rai pelajar

KOTA SAMARAHAN: PASTI Raudhatul Ilmi Kawasan Kota Samarahan telah mengadakan program tahunan melibatkan empat Cawangannya iaitu lawatan sambil belajar (LASBELA) ke VH Green Nature Park, Muzium Kucing dan Pustaka Negeri Sarawak, di sini kelmarin.

Advertisement

Lawatan diiringi 12 guru pengiring dan 33 pelajar 6 tahun ini bermula di destinasi pertama iaitu VH Green Nature Park yang merupakan taman alam untuk kanak-kanak yang pertama di Sarawak di mana ia merupakan perintis pendidikan luar.

Lawatan di sini menyemai rasa menghargai alam semula jadi serta persekitaran dalam kalangan kanak-kanak khususnya di mana terdapat pelbagai jenis haiwan jinak dan pelbagai spesis tumbuhan.

Rombongan juga ke Muzium Kucing terletak di bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara di Bukit Siol, Jalan Semariang, Petra Jaya di mana terdapat lebih kurang 2,000 bahan pameran, artifak serta tugu mengenai kucing dari serata dunia.

Walaubagaimanapun tiada kucing hidup di Muzium Kucing di mana tempat ini hanyalah muzium yang bertemakan kucing, namun ia bercerita mengenai jenis, sejarah, gambar dan replika kucing untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan kucing. 

Di Pustaka Negeri Sarawak, rombongan mengambil peluang berehat sambil memberi peluang kepada murid-murid membaca buku di perpustakaan mini yang terdapat di situ. – HARAKAHDAILY 4/11/2019