Muslimat Pekan disuntik semangat Munajat AKIFI

PEKAN: Lajnah Dakwah, Lajnah Tarbiyah, Lajnah Kebajikan dan Lajnah Penerangan Muslimat PAS Kawasan Pekan telah bersama membawa kelangsungan program Munajat AKIFI yang dilangsungkan di TASTI Ummu Aiman, Taman Sepekan Jaya, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program ini dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, sebelum beranjak ke solat sunat hajat, kemudian diikuti dengan bacaan Yaasiin dan zikir munajat yang dipimpin oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Bukan sekadar bermunajat, malah hadirin bertuah kerana mendapat titipan taujihat daripada beliau pada majlis yang turut dihadiri Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad, Jamilah Chu dan Harison Mohd Amin.

Di awal taujihatnya, Ustazah Nuridah menyatakan bahawa PAS dan Umno terdapat banyak persamaan, malah dianggap seperti adik-beradik, sedangkan perselisihan di antara keduanya tidaklah seteruk permusuhan kaum Aus dan Khazraj.

Pun demikian katanya, kedua kaum itu dapat disatukan oleh Rasulullah atas dasar Islam di Madinah dan atas dasar sama jugalah PAS dan Umno bersatu memandangkan suasana politik sekarang telah didominasi oleh orang bukan Islam.

Beliau turut menzahirkan kekesalannya kerana dilihat masih ramai orang Melayu yang belum sedar akan pekara ini khususnya parti yang bersama PH di mana sungguhpun Perdana Menteri adalah orang Islam, tetapi mendominasinya ialah DAP yang secara terang memusuhi Islam.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar solat sunat hajat dan zikir munajat perlu dilakukan secara berterusan dalam bentuk program berkala agar terbuka pintu hati, mendapat petunjuk membezakan yang benar atau salah dan dibimbing oleh Allah dalam setiap tindakan yang diambil.

Beliau turut membuat perbandingan sejarah di antara Andalusia dengan Tanah Melayu yang dijajah ratusan tahun oleh orang bukan Islam, di mana Tanah Melayu menerima rezeki nikmat iman yang amat besar dan mendalam sehinggakan dikenali Islam itu Melayu, Melayu itu Islam.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Pekan juga menyentuh mengenai PRK P.165 Tanjung Piai yang diibaratkan ditelan pahit dibuang sayang, namun menggesa hadirin mengikut perancangan pimpinan.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Penerangan dan Lajnah Kebajikan, Ustazah Rahidaton Nordin dan Siti Hawa Mohamed, Ketua Ameerah Pekan, Siti Zulaikha Abdul Halim dan Pengerusi Biro Agama Wanita Umno Bahagian Pekan, Norwati Ishak. – HARAKAHDAILY 4/11/2019