Kebajikan ‘rempah ratus’ dalam dakwah, siasah

TIDAK pernah sia-sia Allah S.W.T menjadikan makhluk di bumi-Nya ini dalam pelbagai rupa dan keadaan. Begitu pula, setiap manusia yang diciptakan ada pelbagai wajah, suasana dan keterbatasan.

Ada dari kalangan manusia yang dilebihkan nikmat ke atas mereka. Ada pula yang kurang. Bahkan ada dari kalangan manusia yang disebut sebagai sempurna, begitu pula ada yang sengaja ditentukan Allah S.W.T sebagai kurang upaya.

Dalam kita memerhatikan pelbagai situasi inilah, Allah S.W.T menurunkan Al-Quran melalui Rasul Allah S.A.W sebagai pentunjuk. Baginda Rasul Allah S.A.W diutus dengan membawa risalah untuk memberi faham kepada manusia peri takdir yang ditentukan Allah S.W.T sebagaimana dinyatakan di atas.

Antaranya bila Allah S.W.T berfirman:

Advertisement



لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ  ۖ  وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ
فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ  ۚ  إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.

[AlHadid: 25]



Ditegaskan Allah S.W.T betapa Dia telah mengutuskan RasulNya dengan mukjizat sebagai bukti kepada sekalian manusia. Diutuskan Rasul itu dengan kitab suci untuk membawa pelbagai keterangan sebagai menjelaskan peri keadilan Allah S.W.T yang tiada batas. Manusia dibimbing oleh RasulNya untuk memahami setiap apa yang ditakdirkan sekali gus mendapat faedah dengan apa jua nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T.

Dengan kata lain, Allah S.W.T yang Maha Adil sentiasa membimbing hamba-hambaNya untuk mengharungi kehidupan dalam apa jua keadaan. dalam keadaan manusia itu beroleh kesenangan, atau dalam keadaan manusia itu mengalami kesulitan, Allah S.W.T terus membimbing manusia yang memerlukan petunjukNya.

Ada hambaNya yang dikurniakan pelbagai nikmat dan kesenangan. Ada hambaNya yang dianugerahkan kesulitan dan penderitaan. Semuanya adalah ujian dari Allah S.W.T bagi mengukur keimanan dan tahap amal soleh setiap dari hamba-hambaNya.

Dalam menanggapi keberadaan pelbagai latar masyarakat inilah, Allah S.W.T memandu manusia dengan firmanNya. Antara lain Allah S.W.T meletakkan suatu tanggungjawab dari kalangan manusia untuk fokus dan iltizam dalam melaksanakan agenda membawa nilai dan sikap keprihatinan dan dakwah dalam masyarakat:



وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ  ۚ  وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”



Al-Quran merakamkan peri perlunya ada sekumpulan manusia dari umat Islam meletakkan usaha-usaha memperkasa agenda berkebajikan di tengah-tengah masyarakat.

Demikian usaha yang terus diperkasa oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, LKKPP. Dengan prinsip “qudwah qablaal dakwah”, pihak lajnah terus merangka gerak kerja yang akan dan telah tersedia dilaksana. Terlalu banyak suri teladan daripada Baginda Rasul Allah S.A.W dalam memperluas dakwah Islamiah.

Kami menyeru untuk setiap lapisan masyarakat terutama dari kalangan penyokong PAS untuk turut sama dalam agenda yang telah menjadi kerangka utama dakwah Islamiah sejak dulu lagi. Bagaimana ingatan Allah S.W.T dalam At-Taubah ayat 61, gerak kerja ini tidak mungkin sempurna tanpa dukungan dan sokongan seluruh pihak.

Islam telah menetapkan bagaimana agenda berkebajikan itu bukan sekadar ikut-ikutan. Ia bukanlah sekadar suatu gerak kerja yang hanya bersifat ‘touch & go’. Ia bukan hanya dilaksana dalam tempoh waktu tertentu semata-mata.

Lebih dari itu, gerak kerja berkebajikan yang diusahakan harus membawa manusia itu kepada mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. bagaimana manusia yang berada dalam pelbagai situasi mampu hidup dalam asas Tauhid. Ada golongan yang telah cukup dari sudut material, namun tandus dengan kasih sayang. Begitu pula, ada golongan yang serba dhaif dan dibelenggu dengan pelbagai kekurangan. Pelbagai situasi ini harus mampu dicerna dalam mengatur setiap gerak kerja dalam memacu agenda berkebajikan.

Setiap jiwa manusia harus dibawa kepada kehidupan yang menjurus kepada mentauhidkan Allah S.W.T. Demikian bila diambil pengajaran dari apa yang difirmankan Allah S.W.T dalam ayat berikut:



۞  لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ
وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ
وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا  ۖ  وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ
ۗ  أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا  ۖ  وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, Nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”.



Atas kesedaran itulah pihak LKKP pusat mengatur gerak kerja. Antaranya:

1.     Pengaktifan Pusat Aduan Sosial PAS.

2.     Penubuhan unit Murabitun, khusus mengambil kira hal-ehwal para petugas parti.

3.     Unit Pengupayaan Orang Kurang Upaya (UPAYA) yang dibentuk bagi memperkasa golongan OKU di peringkat kawasan.

4.     Skim Kifalah Ahli-ahli PAS, SkimPAS yang menyediakan skim takaful kepada pencarum-pencarum dari kalangan ahli-ahli PAS.

5.     Skuad Prihatin PAS yang sentiasa bersedia memberi khidmat kepada  semua lapisan rakyat.

Bagi memastikan perencanaan dan perlaksanaan lajnah mampu direalisasikan, dukungan dan sokongan seluruh pihak amatlah diperlukan. Anda boleh menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk tenaga mahupun kepakaran bagi menjayakan setiap dari yang sedang dilaksanakan.

Moga pertolongan Allah sentiasa bersama kita.

DR ROSNI ADAM
Pengerusi
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/11/2019