Revolusi yang di’warna’kan dan di’template’kan

BUKU The Color Revolutions

Sebelum ini saya ada tulis tentang Global Protest. Rata-rata ia digerakkan oleh anak muda. Sama ada mereka ini bangkit atas kesedaran, atau mereka cuma menjadi ketulan buah catur yang digerakkan oleh musuh.

Apabila kita meneliti beberapa protes kita akan dapati kebanyakannya berwarna seragam. Adakah ia cuma lambang kepada kesatuan, atau ada agenda di sebalik rahsia warna ini?

Sama-sama kita fahami apa yang dikatakan tentang ‘The Colour Of Revolution’:

(1)     Pada 2012, Lincoln A. Mitchell telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘The Color Revolutions’ yang menghuraikan beberapa gambaran tentang Warna Revolusi. Beliau adalah Penyelidik Bersekutu di Institut Harriman, Universiti Columbia.

a-     Bermula akhir 2003 hingga pertengahan 2005, satu siri protes jalanan secara aman menggulingkan rejim rasuah dan tidak demokratik di Georgia, Ukraine, dan Kyrgyzstan.

b-     Pergerakan ini secara kolektifnya dikenali sebagai Warna Revolusi, telah disambut di Barat sebagai terobosan demokratik yang dapat membentuk semula medan politik bekas Kesatuan Soviet (Eurasia)

Buku beliau juga turut mendedahkan sebab-sebab dan akibat dari ketiga-tiga Warna Revolusi, iaitu Revolusi Rose di Georgia, Revolusi Orange di Ukraine, dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan.

(2)     Richard Miles, bekas duta besar AS ke Georgia, Azerbaijan, dan Bulgaria mengulas buku ini menyatakan;

Buku ini merupakan sumbangan yang penting kepada pemahaman kita tentang apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu (Warna Revolusi di Georgia, Ukraine Dan Kyrgyzstan) dan memberikan wawasan yang sangat berguna tentang masa depan sama ada mungkin atau tidak, untuk negara-negara lain, di mana keinginan untuk berdemokrasi adalah besar tetapi akarnya lemah

Warna yang berkaitan dengan sunnah Nabi S.A.W

Dalam kita meneliti warna revolusi ini dengan lebih jauh, terlebih dahulu kita lihat beberapa Sunnah Nabi SAW tentang warna,

(1)     Beberapa hadis menyatakan bendera Nabi S.A.W berwarna hitam. Diriwayatkan oleh At Tabrani, Abu Ya’la dan Abu Daud

(2)     Bebeberapa hadis Nabi S.A.W menyatakan ‘Liwa’ Nabi S.A.W berwarna putih. Hadis diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Abu Daud An Nasaie. Penafsiran tentang maksud Liwa’ berbeza-beza.

Ada yang mengatakan Liwa’ itu ialah bendera yang dibawa bergerak ketika perang. Ada pula yang mengatakan Liwa bermaksud bendera besar yang menjadi tanda kedudukan panglima. Tetapi Bahasa Arab Moden menterjemahkan Liwa’ sebagai ‘Briged’.

(3)     Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W membuka Kota Makkah (Fathul Makkah) dengan mengenakan serban hitam.

(4)     Beberapa riwayat juga menceritakan ramai Sahabat Nabi S.A.W mengenakan serban hitam. Antaranya Saidina Umar, Saidina Ali, Saidina Abu Ubaidah, Saidina Al Abbas, Saidina Abd Rahman bin Auf, Saidina Ibn Umar, Saidina Mu’wiyah, Saidina Amr al Ash dan ramai lagi.

Termasuk para Tabiin seperti Sa’id bin Musayyib, Imam Hassan al Basri, Ali bin Abdullah bin Umar dan ramai lagi turut mengenanakan serban hitam melalui pelbagai riwayat.

(5)     Beberapa riwayat menceritakan Nabi S.A.W berserban putih. Begitu juga Para Muhajirin diriwayatkan berserban putih. Antara yang lain Saidina Abu Hurairah, Saidina Abi Atiyyah, Saidina Abi Umamah, Saidina Jabir dan ramai lagi.

Termasuk para Tabiin seperti Ibnu Sirin dan lain-lain yang mencecah 13 orang. Selain itu Imam Ahmad dan lain-lain. Di sana juga terdapat hadis kelebihan berpakaian putih.

(6)     Beberapa riwayat menceritakan Nabi S.A.W berserban kuning dan begitu juga para Sahabat R.A seperti Saidina Zubair al Awwam, Saidina Abdullah bin Umar, Saidina Amr al Ash dan lain-lain

(7)     Terdapat juga riwayat menceritakan Nabi S.A.W berserban merah dan begitu juga para Sahabat R.A seperti Abu Dujanah dan Khalid al Walid. Dari kalangan tabiin seperti Asy Sya’biy.

(8)     Terdapat juga riwayat menceritakan Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A berserban hijau. Banyak juga riwayat menceritakan tentang hal ini.

Kesimpulannya, warna yang masyhur digunakan oleh Nabi S.A.W, Para Sahabat R.A dan Tabiin ialah hitam, putih, hijau, kuning dan merah.

Senarai warna atau template mengikut revolusi

Di dalam catatan sepanjang sejarah warna mengikut revolusi, kita boleh himpunkan dalam senarai berikut;

(1)     Revolusi Kuning di Filipina 22-25 Februari 1986. Ia lambang kepada ‘people’s power dan simbol kepada perdamaian terhadap tentera

(2)     Revolusi Kelapa yang mengenakan warna Coklat di Papua New Guniea pada 1 Disember 1988 hingga 20 April 1998. Ia diambil sempena penggulingan disebabkan diskriminasi

(3)     Revolusi Velvet 17 November hingga 29 Disember 1989 di Republik Czech dengan mengenakan warna magenta sebagai simbol kepada pelajar yang menjatuhkan Komunis

(4)     Revolusi Bulldozer di Yugoslavia pada 5 Oktober 2000 yang mengenakan warna hitam, melambangkan penggulingan. Di sinilah bermulanya kajian terhadap fenomena Warna Revolusi

(5)     Revolusi Rose di Georgia pada 3-23 November 2003 yang mengenakan warna bunga ros. Simbol kepada pertikaian, penggulingan dan kebebasan.

(6)     Revolusi Oren di Ukraine pada 22 November 2004 hingga 23 Januari 2005. Ia adalah simbol kepada pertikaian, penguasaan dan kebebasan

(7)     Revolusi Ungu di Iraq pada Januari 2005 dengan mengenakan warna ungu. Melambangkan demokrasi dan kebebasan

(8)     Revolusi Tulip di Kyrgyztan pada 27 Februari hingga 11 April 2005. Mengenakan warna pink yang melambangkan protes dan bantahan.

(9)     Revolusi Cedar di Lubnan pada 14 Februari hingga 27 April 2005 dengan warna hijau sempena pertikaian terhadap pembunuhan pimpinan pembangkang

(10)     Revolusi Biru di Kuwait pada Mac 2005 dengan mengenakan warna biru simbol  kepada tuntutan hak wanita mengundi.

(11)     Revolusi Jeans di Belarus pada 19-25 Mac 2006. Mereka cuba meniru Revolusi Tulip. Mengenakan warna biru cair seluar jeans yang melambangkan kebebasan.

(12)     Revolusi Saffron di Myanmar pada 15 Ogos hingga 26 September 2007. Mengenakan warna oren saffron (pakaian sami) melambangkan anti kerajaan.

(13)     Revolusi Anggur di Moldova pada 6 hingga 12 April 2009 mengenakan warna anggur lambang patrioritik negara tersebut yang banyak anggur.

(14)     Pergerakan Hijau di Iran pada 13 Jun 2009 hingga 11 Februari 2010 mengenakan warna hijau ‘lime’ (warna baju keselamatan) sempena warna kempen pimpinan mereka.

(15)     Revolusi Melon di Kyrgyzstan pada 6 April hingga 14 Disember 2010, mengenakan warna melon sebagai simbol kepada penyingkiran Presiden

(16)     Revolusi Jasmine di Tunisia pada 18 Disember 2010 hingga 14 Januari 2011 mengenakan warna jasmin juga melambangkan anti-kerajaan

(17)     Revolusi Lotus di Mesir pada 25 Januari hingga 11 Februari 2011. Mengenakan warna Bunga Lotus melambangkan nyawa, kebangkitan dan matahari Mesir Kuno

(18)     Revolusi Mutiara di Bahrain pada 14 Februari 2011 hingga 22 November 2014 mengenakan warna mutiara, lambang kepada patrioritik negara tersebut.

(19)     Revolusi Kopi di Yaman pada 27 Januari hingga 24 November 2011 mengenakan warna kopi (coklat kopi) lambang kepada anti-kerajaan.

(20)     Revolusi Jasmine di China pada 20 Februari hingga 20 Mac 2011 sama macam Revolusi Jasmine Tunisia, iaitu anti-kerajaan.

(21)     Revolusi Salji di Rusia pada 4 Disember 2011 hingga 18 Julai 2013 mengenakan warna putih kerana tercetus ketika musim salji.

(22)     Revolusi Warna Warni di Macedonia pada 12 April hingga 20 Julai 2016. Warna warni sempena penunjuk perasaan membuang bola cat warna-warna yang berbeza di bangunan kerajaan

(23)     Revolusi Velvet di Armenia pada 21 Mac hingga 8 Mei 2018, warna ini menggambarkan penentangan terhadap kerajaan.

Barat memanipulasi warna sebagai strategi

Di dalam senarai di atas, bukan bermaksud kesemuanya adalah Warna Revolusi yang dicorak oleh Barat. Akan tetapi ia hanyalah catatan sejarah warna-warna yang berkaitan  dengan revolusi.

Susulan daripada wujudnya tema atau template bagi beberapa revolusi, Barat mendapati bahawa warna boleh menjadi satu peluang untuk dimanfaatkan (dengan maksud dimanipulasikan).

(1)     Anthony Cordesman dari Center for Strategic and International Studies pada 2014 menyatakan bahawa;

“Pemimpin tentera Rusia melihat warna revolusi sebagai pendekatan baru Amerika dan Eropah untuk berperang dengan memfokuskan kepada ‘penciptaan’ revolusi yang tidak stabil di negara-negara lain sebagai satu cara mendapatkan kepentingan keselamatan mereka, dengan kos yang rendah dan kecederaan yang minimum”

(2)     Laman Web Global Times menyiarkan tulisan yang bertajuk ‘US Split On Future Relations With China’ pada 8 Mei 2016 menyatakan;

‘A variation of containment seeks to press China on human rights and democracy with the hope of creating a ‘color revolution”

(3)     Pada 2005 di Azerbaijan, diadakan bantahan terhadap dakwaan unsur penipuan yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka menggunakan bendera kecil dan sepanduk berwarna oren sebagai tanda protes.

(4)     Di Belarus pada 2006, bantahan mereka susulan daripada kebangkitan di Ukraine. Mereka pada mulanya mengenakan warna merah putih merah, kemudiannya bertukar ke warna jeans.

Alexender Lukashenko yang merupakan Presiden Belarus menyatakan bahawa bahawa warna biru itu adalah yang lebih menakutkan.

(6)     Di Mongolia pada 2005 melakukan revolusi dengan mengenakan penutup kepala berwarna kuning. Seolah-olah ada kaitan dengan filem yang dikeluarkan pada tahun yang sama ‘The Cave Of The Yellow Dog’.

Filem ini diterbitkan pada tahun yang sama, dan dilatari dengan suasana Mongolia yang menceritakan tentang kehidupan nomad orang-orang Mongol.

Warna revolusi tajaan Barat

Realiti yang kita lihat pada hari ini ialah bagaimana kewujudan warna revolusi ini dijadikan kesempatan oleh Amerika untuk ‘memudahkan lagi’ perancangan dan strategi mereka.

Keseragaman warna boleh membawa kepada ‘keenakan’ ber‘trend’. Untuk mencetuskan fenomena ini tidaklah susah, hanya perlu beri latihan kepada proksi-proksi mereka dan suntikan dana.

Cukup dua modal ini, sudah boleh untuk ‘mewarnakan’ dan ‘mentemplatekan’ sesuatu revolusi itu sehingga terbakar. Anak-anak muda antara objek yang paling mudah terpengaruh dengan projek ini.

Hari ini kita lihat beberapa bentuk warna kebangkitan yang dilihat ditaja oleh Barat yang boleh dilihat ialah;

(1)     Warna pelangi digunakan oleh geng LGBT untuk menuntut hak mereka

(2)     Warna ungu digunakan oleh geng Feminism untuk menuntut hak wanita.

(3)     Warna oren yang sinonim dengan Liberalism dan ‘nafas baru’ mereka.

(4)     Himpunan Bersih di Malaysia mengenakan warna kuning

Dan lain-lain.

Tidak dinafikan, keseragaman warna semenangnya boleh membawa kepada elemen kesatuan. Sebab itulah Barat menjadikan elemen warna ini untuk dimanipulasikan sebagai revolusi.

Mereka mewujudkan warna warna kebangkitan supaya membakar sentimen anak muda menentang kerajaan, menimbulkan huru-hara, dan menyatakan hak pendirian.

Contohnya pada 2011, Himpunan Bersih dikatakan ditaja oleh National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI). Antaranya pendedahan yang dibuat oleh Global Research yang turut mengaitkan Bersih dengan tajaan George Soros (OSF)

Agensi Amerika dan Eropah di sebalik warna revolusi

Beberapa pengkaji Barat sendiri menulis tentang penglibatan beberapa pertubuhan Amerika seperti CIA dan NED yang terlibat dalam pendanaan Warna Revolusi ini serta tajaan George Soros.

(1)     Antaranya tulisan Matyas Benyik dalam Attac UK yang menyatakan;

After the breakup of the Soviet Union, the ‘color revolutions’ began to unfold intensely. Their meaning consisted in bringing to power openly anti-Russian, pro-Western, and often nationalistic political forces in the countries of the Commonwealth of Independent States (CIS), and thereby finally tearing these countries away from Russia, to frustrate integration, and in the long term to include them in NATO as occurred in the Baltic countries. The peculiarity of these revolutions was that they were all aimed at bringing about closer relations of the countries with the USA and the West, and they followed the method of ‘non-violent resistance’, which American strategists had elaborated in the framework of the ‘Freedom House’ project.This was carried out through subversive measures and the organization of revolutions that had been executed in the Third World under the direction of the CIA.

(2)     Global Research telah menerbitkan beberapa artikel, antaranya pada 11 Oktober 2011 yang menceritakan tentang Warna Revolusi yang dimanipulasikan oleh agensi-agensi Amerika.

(3)     Dalam satu kajian yang dibuat oleh Gerald Sussman dan Sascha Krader daripada Portland State University yang bertajuk ‘Template Revolutions: Marketing US Regime Change in Eastern Europe’ sebanyak 22 halaman.

a-     Kajian akademik ini menceritakan bahawa antara tahun 2000 dan 2005, Kerajaan Rusia yang bersekutu di Serbia, Georgia, Ukraine, dan Kyrgyzstan digulingkan melalui pergolakan ‘tanpa darah’.

Walaupun media Barat secara amnya menggambarkan rampasan ini sebagai pemberontakan kaum asli dan kuasa rakyat, namun hakikatnya ia adalah ‘revolusi yang diwarnakan’. 

b-     Amerika Syarikat, telah memberi fokus kepada ‘revolusioner pemesejan’, dengan kaedah dan latihan strategik dalam ‘konflik tanpa kekerasan’.

c-     Antara agensi utama yang terlibat ialah United States Agency for International Development (USAID) dan National Endowment for Democracy (NED), Open Society Institute, Freedom House (OSF) milik George Soros dan International Center on Nonviolent Conflict (ICNC).

Hong Kong, Iraq dan kewaspadaan kita

(1)     Sejak April 2019 sehingga saat ini Hong Kong dilanda dengan revolusi anak muda yang pernah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini tentang ‘Global Protest’. Hong Kong diisyhtihar darurat pada awal Oktober tahun ini.

Bermula daripada sentimen, akhirnya anak-anak muda dibakar dengan ketidak puasan hati terhadap undang undang baru. Vandalisme berleluasa dan laluan keretapi terencat.

a-     Jurucakap Majlis Hal Ehwal Hong Kong dan Pejabat Hal Ehwal Macau, Yang Guang, menyatakan kewaspadaan terhadap kemungkinan unsur revolusi yang diwarnakan sedang melanda mereka.

Walaupun agak terlewat mengesannya, namun ia lebih baik daripada membiarkan diri dalam keadaan tiada kesedaran langsung.

b-     Ms Carla Stea, penganalisis geopolitik di Global Research, juga menyatakan penglibatan media Amerika dan Eropah menyokong ketidakstabilan kerajaan di Hong Kong.

c-     Penyelidik Kanan Xing Guangcheng dari Akademi Sains Sosial Cina berkata bahawa revolusi warna yang pernah terjadi di negara-negara Eropah Timur tiada yang menampakkan sesuatu yang positif.

(2)     Pada awal Oktober, protes ganas berlaku di Baghdad dan bandar-bandar lain di Iraq. Lapan anggota pasukan keselamatan dan hampir 100 orang awam terbunuh, dan lebih daripada 5,000 cedera

Macam biasa, isu rasuah dibangkitkan. Cumanya yang masih menjadi persoalan di kalangan para pengkaji ialah adakah ia satu kebetulan atau ada tangan belakang yang mewarnakan revolusi itu?

Perkara ini masih menjadi perbincangan. Tetapi BBC ada menyatakan ‘penembak yang tak dikenali’. Biasanya kewujudan agen seperti ini adalah untuk memanaskan keadaan. Sama seperti di Syria dan Venezuela satu ketika dahulu.

Seperti biasa, apabila wujudnya huru-hara khususnya di Timur Tengah, pastinya menghala ke arah pemecahan negara. Ini sifirnya. Mungkin ada kemungkinan projek Kurdistan Raya yang bakal ‘memakan’ kawasan Iraq

(3)     Hari ini Malaysia sudah kelihatan bunga bunga revolusi yang diwarnakan. Bimbang apabila Amerika ‘mewarnai’ revolusi di Malaysia, ketika itu ada rakyat Malaysia yag tertipu.

Anak-anak muda yang gelojoh, biasanya akan terbakar dengan warna-warna revolusi ini. Perlu berwaspada dengan seruan untuk ‘berbaring’ di jalanan. Perlu berhati hati dengan sebarang seruan ke arah protes. – HARAKAHDAILY 5/11/2019

Advertisement