Bajet Sarawak bagai oksigen selepas racun PH

BAJET 2020 Sarawak adalah oksigen yang memberi nafas setelah banyak janji palsu serta Bajet 2020 Kerajaan PH yang tidak memberi manfaat dan bagai racun berbisa kepada rakyat Sarawak. Antara penipuan besar mereka adalah janji royalti 20 peratus dan menghapuskan PTPTN yang tidak dapat mereka laksanakan.

Di dalam pembentangan Bajet 2020 Kerajaan Sarawak yang dibentangkan oleh Ketua Menteri pada 4 November lalu, enam teras utama menjadi asas dari sejumlah RM9.891 billion keseluruhan bajet.

Tumpuan memberi kemudahan elektrik percuma di luar bandar di mana sebanyak 5,000 isi rumah di 192 kawasan juga disambut baik kerana keperluan asas ini termasuk daripada apa yang diminta oleh rakyat Sarawak selama ini. Selain itu penyambungan elektrik percuma bagi golongan berpendapatan rendah juga satu inisiatif yang baik bagi membantu golongan B40 terutamanya.

Selain itu dengan meringankan beban belanja isi rumah seperti bantuan RM450 untuk ibu selepas bersalin, serta bas sekolah percuma akan mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah terutama di bandar. Kos yang ditanggung berkaitan tersebut boleh digunakan untuk memacu ekonomi isi rumah.

Golongan muda juga merasa gembira kerana RM30 juta diperuntukan bagi membantu graduan Sarawak yang bermasalah membayar balik pinjaman PTPTN. PAS Sarawak juga telah mengemukan mekanisma pembayaran tersebut seperti laporan berita yang lepas.

Sokongan kepada Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan hak seperti cukai barangan petroleum ini juga perlu memandangkan saat genting ketika ini untuk memacu pembangunan negeri. Keengganan Petronas membayar cukai 5 peratus tersebut amatlah dikesali.

Rakyat telah hilang harapan kepada PH yang telah mati kutu dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat. Mereka hanya bermain wayang dan membawa pelbagai masalah selama mereka mengambil alih pentadbiran negara. Ini turut berlaku kepada hak Kelantan yang turut ditipu dari mendapat royalti.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 6/11/2019

Advertisement