DPPNS kecam kenyataan LGE

    Advertisement

    KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengecam ucapan berbaur fitnah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) yang telah menyifatkan kerjasama PAS dan Umno sebagai rasis dan menindas kalangan bukan Islam.

    Ketuanya, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata, ucapan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat sangat terdesak dengan menghasut kaum bukan Islam khususnya untuk menolak kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional yang dibentuk.

    “Sedangkan terbukti menerusi semangat kerjasama Muafakat Nasional pada hari ini, calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di PRK Tanjung Piai

    “Ia dipersetujui oleh PAS menandakan Muafakat Nasional bukan rasis malah memahami konteks masyarakat majmuk yang sedia ada di dalam negara Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Berikutan daripada itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak politik fitnah yang di bawa oleh Pakatan Harapan (PH) sejak kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu sehingga kini.

    Katanya, kepimpinan PH sewajarnya mentadbir dengan keupayaan yang ada bukannya dengan terus menfitnah pihak pembangkang bagi menutupi kelemahan dan menaikkan kebencian yang melulu tanpa sedar tindakan itu hanya mengundang kepada perpecahan rakyat.

    Hanafi meminta supaya pihak berwajib mengambil tindakan tegas kepada Guan Eng dan juga mana-mana pimpinan politik yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan berunsur hasutan kerana ia mengundang iklim politik kebencian dan perpecahan di kalangan rakyat.

    Dalam masa yang sama, pihaknya juga turut menyelar kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Salahuddin Ayub, yang menfitnah dan menghasut kebencian pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kepada PAS dan Umno.

    Terdahulu, Salahuddin dalam satu video yang tular di media sosial berkata, “Saya tahu ada marahkan PH, tapi ingat kalau bagi balik BN berkuasa, dia kawan sama PAS. Ini country (Negara) akan huru hara! Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tiada orang tembak sana sini, tiada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh”.

    Salahuddin berkata Demikian dalam satu perjumpaan tertutup bersama guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio, Kukup Laut

    Mengulas lanjut, Hanafi mengajak semua rakyat berbilang kaum di negara ini untuk menyemai perpaduan dengan bersama-sama Muafakat Nasional dan menolak sebarang agenda provokasi dan fitnah jahat yang dilemparkan oleh pimpinan PH.