Kes kekeluargaan: Bicarakan secara tertutup

SEWAKTU bangun membahaskan kepala perbekalan Jabatan Perdana Menteri semalam 5 November 2019, saya turut menyentuh berhubung peruntukan bajet  Butiran 030300 kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di mana peruntukan 2019 sebanyak RM68,485,000 namun pada tahun 2020 menurun kepada RM63,136,500.

Selain penurunan peruntukan yang kemudiannya telah diberikan penjelasan oleh YB Timbalan Menteri, saya turut melontarkan cadangan agar kes-kes kekeluargaan dibicarakan dengan tertutup tanpa kehadiran pihak yang ketiga. Ia boleh dilaksanakan dengan pertimbangan hakim tanpa kekangan seperti sumber manusia dan prasarana. Ia sekali gus menutup keaiban dan maruah pihak yang terbabit apatah lagi isu-isu yang melibatkan kekeluargaan ini bukannya merupakan satu jenayah yang mempunyai kepentingan untuk dimaklumkan kepada masyarakat.

Pada hari ini, kes-kes perceraian, wali hakim, fasakh, li’an, hadhanah, faraid, mutaah dan sebagainya dibicarakan secara terbuka di mana mana-mana pihak ketiga boleh sahaja untuk hadir ke galeri mahkamah bagi mengikuti perbicaraan.

Ia belum termasuk kes-kes yang melibatkan selebriti dan individu terkenal yang dihidu oleh pihak media yang kemudiannya menjadikan bahan sensasi untuk dilaporkan.

Tidak dinafikan, permohonan untuk perbicaraan secara tertutup boleh dibuat tetapi berapa ramaikah yang mengetahui hak ini dan setakat manakah mahkamah boleh membenarkan permohonan itu jika dibatasi pula dengan kekangan yang dihadapi oleh JKSM? Sudah tentu mahkamah tidak mampu untuk melayan semua permohonan bicara tertutup ini di dalam situasi keterbatasan seperti hari ini. Bagaimanapun, jika kerajaan sendiri mempunyai komitmen untuk melaksanakan cadangan ini, sudah pasti ia akan disusuli oleh peruntukan bajet yang sesuai bagi memastikan ia dapat dilaksana.

Kita maklum kadar kes perceraian yang tinggi di negara ini di mana kadang-kadang terdapat lebih 50 kes diputuskan oleh satu-satu mahkamah dalam masa sehari. Namun, jika JKSM diperkasakan dengan penambahan prasarana dan sumber manusia, idea untuk melaksanakan perbicaraan secara tertutup ini saya yakin dapat dilaksanakan.

Kes-kes kekeluargaan ini menjangkau politik partisan. Semua pihak boleh terlibat dengan isu bila-bila masa sahaja tanpa mengira statusnya dalam masyarakat.

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas
6 November 2019 – HARAKAHDAILY 6/11/2019

Advertisement