Pemimpin PH ‘kebal’ dari tindakan undang-undang?

SHAH ALAM: Kepimpinan pemuda Muafakat Nasional mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Advertisement

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pemimpin kerajaan seperti ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa walaupun berkali-kali laporan polis dibuat terhadap beberapa kenyataan berbaur hasutan dari pemimpin kerajaan.

Beliau ditemani Jabatan Amal Negeri Selangor membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini pagi tadi ekoran ucapan menghasut Lim Guan Eng pada Ahad lalu.

Selain Hanafi, turut membuat laporan polis di balai yang sama Ketua Pergerakan Pemuda Umno Selangir, Rizam Ismail berhubung isu kenyataan sama ucapan Lim Guan Eng di Konvensyen Tahunan DAP Johor yang disiarkan dalam laman web rasmi DAP.

“Di balai polis ini telah berlaku banyak kali laporan polis berkaitan dengan isu hasutan dan berbaur fitnah yang melibatkan perpaduan dalam negara kita.

“Khususnya laporan polis kita kepada Waytha Moorthy (Menteri Perpaduan) dan Ganabatirao (Adun DAP-Kota Kemuning) dan juga isu Adib yang berlaku di Selangor, juga kita buat laporan polis di sini bersama dengan Pergerakan Pemuda Umno.

“Tapi kita nampak seolah pemimpin parti politik khususnya kerajaan ini macam kebal seolah tidak diberikan perhatian.

“Rakyat yang menghadapi isu kes yang kecil diambil tindakan tetapi isu melibatkan perpaduan negara terhakis ini tidak diambil berat dan tidak diambil perhatian oleh mereka yang bertanggungjawab,” ujarnya yang kesal dengan budaya dan iklim politik hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Selangor, Rizam Ismail menyifatkan kenyataan Lim Guan Eng yang dilayarkan di web rasmi DAP adalah kenyataan jahat.

Ujar Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor berkata kenyataan menghasut Lim Guan Eng itu boleh disabitkan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1946, Seksyen 298A kanun keseksaan dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Media 1948.

Menterjemahkan kenyataan Guan Eng yang disiarkan di portal rasmi DAP dalam Bahasa Inggeris, Rizam berprinsip kenyataan Guan Eng membayangkan kerjasama PAS dan Umno bersifat perkauman dan pelampau agama.

Ujar Rizam yang juga Adun Sungai Tawar, Guan Eng juga membayangkan bukan Melayu dan bukan Islam tidak boleh memegang jawatan menteri, sekolah jenis kebangsaan akan ditutup, penganut Kristian tidak boleh berkumpul untuk sembahyang, barangan dan perniagaan bukan Islam diboikot, bukan Islam dan bukan Melayu digelar babi, pengganas dan komunis.

“Gambaran (oleh Guan Eng) seolah-olah Muafakat Nasional (iaitu) kerjasama PAS dan Umno akan memberi masalah kepada kaum lain, walhal perkara ini tidak pernah berlaku.

“Ternyata sejarah dah membuktikan sepanjang pemerintahan Barisan Nasional tidak pernah mendiskriminasikan bangsa-bangsa lain ataupun mengkastakan kaum lain.

“Begitu juga sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan kita dapat lihat kemakmuran dan kebebasan beragama dapat dilakukan di negeri pemerintahan PAS ini,” ujar Rizam.

Turut hadir memberi sokongan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Jabatan Amal Negeri Selangor dan beberapa wakil Dewan Pemuda PAS Pusat Malaysia.