Perjuangan manifestasi cinta kepada Rasulullah

KELAHIRAN Nabi Muhammad S.A.W membawa kebahagiaan kepada dunia dan seisinya. Rasulullah S.A.W membawa Islam sebagai syariat penutup dan kesempurnaan bagi pensyariatan yang terdahulu. Melalui wasilah Baginda S.A.W  umat Islam dapat menikmati nikmat keIslaman dan keimanan sehingga hari ini.

Rasulullah S.A.W diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam melalui pensyariatan Islam.  Firman Allah S.W.T:

Advertisement


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.”

(al-Anbiya’: 107)



Hari kelahiran Nabi S.A.W yang dipotretkan bukan hanya semata-mata untuk diingati sebagai peristiwa bersejarah. Akan tetapi bagaimana peristiwa ini menguatkan jati diri umat Islam ke arah  mengangkat Rasulullah S.A.W sebagai qudwah dalam setiap tindakan dan urusan kehidupan seharian.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Imran ayat ke-31:



قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”.



Membuktikan cinta kepada Baginda S.A.W adalah dengan cara mengikuti ajaran serta mengamalkan sunnah Baginda S.A.W. Antara Sunnah Nabi S.A.W yang makin ditinggalkan umat Islam pada hari ini adalah bersama-sama meneruskan  perjuangan dalam penyebaran dakwah. Ramai di antara kita merasa tenang hati dengan keberadaan sebagai seorang Islam namun melupai hak-hak sebagai umat Islam dalam merencanakan gerak kerja dakwah. Perjuangan adalah fokus terbesar yang menjadi tujuan pengutusan Nabi S.A.W ke dunia. Kehidupan Baginda S.A.W diperjuangkan untuk mengeluarkan manusia dari bencana jahiliyah kepada sinar keimanan.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Ibrahim ayat pertama:



كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

“(Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang-benderang.”



Sirah Rasululllah S.A.W memperlihatkan kesungguhan,ketabahan dan kecekalan Baginda S.A.W mendepani cabaran dan rintangan  perjuangan. Rasulullah S.A.W mengajar bagaimana perjuangan bukan  kerja sambilan yang boleh dilakukan hanya bila mempunyai kelapangan waktu. Akan tetapi perjuangan adalah gerak kerja berterusan bahkan kewajipan yang dipikul  seiring  dengan tanggungjawab kehidupan sehari-harian.

Antara faktor kebejatan umat Islam dalam perjuangan dakwah ialah kelemahan jati diri. Umat Islam hari ini mudah berputus asa dan berkeluh kesah dengan nasib yang menimpa mereka . Faktor ini menyebabkan umat Islam berasa malas untuk bekerja demi Islam.  Tidak kurang juga yang mendakwa, tidak pernah menang dan mendapat hasil dari gerak kerja yang dilakukan selama ini sebagai alasan untuk bertangguh kerja dan berhenti dari memberi komitmen bersama perjuangan.

Sebaliknya, umat Islam harus bersikap optimis dengan masa depan Islam. Jika kita soroti perjalanan sirah, Nabi S.A.W sentiasa meyakinkan Sahabat-sahabat Baginda S.A.W dengan khabar gembira yang akan diperolehi Islam. Sikap  Nabi S.A.W ini, memberi nilai tambah kepada para Sahabat dan umat Islam untuk berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa walau apa jua rintangan yang mendatang.

Umat Islam juga perlu segera bermuhasabah diri terutama  terhadap  tanggungjawab ke atas  perjuangan. Kita perlu sedar memberi intima’ kepada jalan dakwah ini, bukan pilihan tetapi merupakan satu kewajipan. Bila kita jahil dan keliru memahami tanggungjawab, musuh Islam terus menerus mengambil kesempatan ke atas kita melalui  penjajahan idealogi yang sedikit demi sedikit menghakis nilai Islam dalam diri. Maka jadilah umat Islam hari ini hanya Islam pada sudut nama bukan pada tatacara hidup.

Berusaha meletakkan Islam dalam setiap perkara adalah kemuncak kecintaan kepada Baginda S.A.W. Nabi S.A.W mewariskan al-Quran dan as-Sunnah untuk ditekuni dan diamalkan dalam kehidupan.

Hadis Nabi S.A.W:



أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi”.



Ayuh sama-sama mengambil tanggungjawab memperbaiki diri dan menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling. Semoga kita menjadi pengikut dan kekasih Baginda S.A.W di dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 6/11/2019