Rasis: Lapor polis, desak LGE ditangkap

SETIAUSAHA Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi dengan angkuhnya mempamerkan sikap sebenar beliau yang rasis dan Cauvunis. Lim Guan Eng secara terbuka mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menimbulkan ketegangan antara kaum dengan menuduh PAS dan Umno akan menindas orang bukan Melayu di Malaysia.

Lim Guan Eng secara jelas memfitnah PAS dan Umno dan cuba menimbulkan suasana tidak harmoni antara kaum apabila beliau mengatakan:

(i)     Umno dan PAS akan menghapuskan hak-hak asasi bukan Melayu dan bukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

(ii)     Umno dan PAS tidak akan membenarkan bukan Melayu dan bukan Islam memegang jawatan Menteri dalam Kabinet.

(iii)     Umno dan PAS tidak akan membenarkan bukan Islam, khususnya Kristian, berkumpul untuk menunaikan ibadat mereka.

Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh beliau menerusi kenyataan rasmi selaku Setiausaha Agung DAP pada 28 Oktober lalu, dan turut disebut dalam ucapan beliau semasa Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada 3 November.

Oleh kerana kebiadaban yang melampau oleh Lim Guan Eng, serta tindakan beliau yang terus-menerus mengapikan perpecahan dan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat bukan Melayu kepada PAS dan Umno, maka Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru dan mengarahkan semua pihak, khususnya Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan, agar membuat laporan polis berkenaan kenyataan tersebut. Kami menggesa tindakan tegas diambil ke atas beliau yang cuba menghasut serta menyebabkan pergaduhan sesama masyarakat majmuk di Malaysia.

DPPM merasakan adalah tidak wajar seorang ahli politik bertaraf Menteri secara berterusan menyerang lawan politiknya dengan kenyataan-kenyataan fitnah yang boleh mengakibatkan perpecahan kaum. Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu tindakan jijik dan seharusnya dikenakan tindakan undang-undang.

DPPM sentiasa bertegas dan tidak akan memberi ruang untuk budaya politik kebencian berasaskan kaum disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia. DPPM sentiasa meraikan masyarakat bukan Melayu, serta memastikan hak mereka sentiasa dihormati. Tindakan menyebarkan fitnah jahat yang boleh mencetuskan ketegangan kaum haruslah ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

NADZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 6/11/2019

Advertisement