Warkah buat saudaraku ahli Umno Jabi

DARI 10 Mei 2018 lagi, kita sudah bersedia untuk bersama membuka era baru bagi masyarakat Jabi. Semua warga Jabi ialah saudara kita.

Orang PAS memandang orang Umno sebagai saudara, begitulah juga kita mengharapkan sebaliknya.

Dengan sedikit kuasa yang ada, kita ingin menebarkan keadilan dalam masyarakat. Ada bencana, sakit dan mati semuanya kita santuni. Permohonan tanah kita sokong tanpa mengira warna asalkan memang benar tanah tersebut di retoh oleh pemohon, tidak bertindan dan menepati syarat. Saya ada senarai orang-orang kuat Umno yang telah mendapat geran hak milik tanah zaman kerajaan baru Terengganu ini.

Baik pulih rumah, sama ada kerana uzur atau bencana ribut, orang PAS dapat dan Umno pun dapat. Ada Pengerusi MPKK kita naik atas bumbung rumah bekas JKKK Umno untuk baiki atap yang rosak akibat ribut.

Bantuan seperti baju sekolah, Kad Sejahtera, Dana Raya, JKM, Tabung Darul Iman dan sebagainya kita bagi kepada yang layak. Saya pergi sendiri ke rumah beberapa orang kuat Umno untuk hantar cek bantuan Tabung Darul Iman sebagaimana kita pergi hantar ke rumah orang PAS.

Tak ada seorang pun yang kita tamatkan bantuan di atas sebab kerana dia orang Umno. Kalau ada yang biasa dapat, tapi sekarang tak dapat, sila maklum untuk kita teliti mungkin ada masalah teknikal telah berlaku.

Orang Umno minta sambung bekalan air paip, kita bagi. Minta bantuan bayar bil elektrik kita bagi. Minta bantuan anak nak masuk Universiti kita bagi. Pesakit di hospital, pesakit terlantar di rumah, ibu bersalin dan lain-lain kita ziarah belaka tanpa mengira warna. Pesakit orang kuat Umno yang terlantar sejak bertahun-tahun, Alhamdulillah akhirnya dapat kerusi roda zaman kerajaan baru.

Jalan lalu depan rumah orang Umno kita baiki sebagaimana kita baiki jalan depan rumah orang PAS. Jemputan rumah orang PAS kita hadir sebagaimana juga kita hadir jemputan ke rumah orang Umno.

Cuma saya mohon satu sahaja. Berpada-padalah dalam menuntut dan meminta. Mungkin kita rasa bahawa kita layak, tapi ada lagi saudara kita yang lebih layak untuk terima bantuan. Mungkin rumah kita tak baru tapi ada lagi rumah saudara kita yang lebih uzur perlu diutamakan. Saya utamakan rakyat yang lebih layak, mungkin kebetulan dia orang PAS. Pandanglah saudara kita orang PAS dengan pandangan kasih sayang. Orang PAS jarang meminta tapi mereka telah dinafikan banyak hak sejak berpuluh tahun yang lalu. Saya tidak berdendam dan jauh sekali nak membalas dendam tetapi izinkan dan berikan saya peluang untuk memulihkan semula situasi dalam masyarakat.

Berpada-padalah dengan nada percakapan kita. Saya biasa duduk di negara perang dan tak kisah dengan bahasa yang kasar. Tapi adalah tidak adil untuk menyalahkan saya hanya kerana rumah tak masuk air paip sedangkan sejak puluhan tahun lalu saudara adalah penyokong kuat Umno. Air paip jalan dah lama ada. Bukan baru setahun dua ini. Kita akan bantu insyaAllah. Yang berlalu biarkan berlalu. Ambillah sedikit ruang untuk muhasabah diri.

Selalu orang Umno datang kepada saya menuntut itu dan ini dengan dakwaan mereka layak. Itu betul! Tapi tolonglah lihat sekeliling kerana di sana dalam masyarakat kita ada yang lebih layak. Buangkan sikap pentingkan diri sendiri.

Sama juga dengan permohonan baiki rumah. Rumah tak akan jadi buruk dalam masa setahun. Kalau buruk maknanya ia telah lama buruk. Saya mengambil tanggungjawab serius dalam hal ini. Tahun ini sahaja sebanyak 120 buah rumah kita telah dan sedang dibaik pulih. Tapi mustahil ianya boleh siap semua dalam masa setahun lebih. Perlu muhasabah semula diri kalau puluhan tahun kita sokong Umno akhirnya kita marah kepada kerajaan baru kerana belum baiki rumah kita.

Sayangi saudara kita orang PAS dan santuni saudara kita orang Umno. Kita semua muslim dan mukmin yang bersaudara. Cara berfikir dan bertindak mungkin berbeza. Tapi ada titik persamaan yang membolehkan kita duduk bersama.

Saya sebenarnya sangat tak minat untuk sebut Umno-PAS. Tapi inilah nada bahasa yang mudah difahami masyarakat di sini. Maafkan saya…

DR AZMAN IBRAHIM – HARAKAHDAILY 6/11/2019

Advertisement