Anak muda, hutang isi rumah dan literasi kewangan

PAGI tadi di dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, saya terbaca pandangan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid di dalam akhbar The Malaysian Reserve yang menyatakan kurang bersetuju dengan langkah pelan kerajaan untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan alasan ia tidak memberikan faedah secara langsung kepada golongan B40. Secara peribadi, saya merasakan ada ruang untuk berbeza dengan beliau dalam hal ini dan barangkali akan ada pandangan pro dan kontra terhadap pandangan tersebut namun ia boleh dibincang secara profesional oleh pakar-pakar yang berkaitan. Apa yang menariknya, beliau melontarkan pandangan agar sistem pencukaian dapat direformasi dengan mengenakan lebih banyak cukai kepada golongan berada (T20).

Saya perturunkan sebahagian kenyataan beliau, “When the poor have RM1 they will consume immediately. If the rich have an extra RM1 they will go to London and spend it. So, it makes the economic sense to spend more on the poor.”

Setakat manakakah sebenarnya beban kewangan yang sedang dihadapi oleh golongan muda terutama golongan B40 di dalam negara kita pada hari ini? Tinjauan Kestabilan Kewangan S1 2019 yang baru diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan pertumbuhan hutang isi rumah meningkat 5.1 peratus. Hutang isi rumah pada akhir Jun 2019 menokok daripada 82 peratus kepada 82.2 peratus daripada KDNK atau bersamaan dengan RM1.2 trilion sehingga akhir Jun 2019. Hutang isi rumah Malaysia antara yang tertinggi di Asia jika dibandingkan dengan Jepun (58 peratus), Singapura (54 peratus) dan Hong Kong (73 peratus). 

Advertisement



Sejarah hutang isi rumah di Malaysia menunjukkan pada kadar yang tertinggi pada tahun 2015 iaitu 86.9 peratus kemudian kembali mencatatkan pertumbuhan yang sederhana sejak 2016 (86.4 peratus), 2017 (82.6 peratus) dan terakhir pada 2018 (82 peratus) (Rajah 1). Penurunan ini dijangka disebabkan oleh perbelanjaan berhemat isi rumah selain terdapat beberapa intervensi kerajaan untuk mengawal kestabilan kewangan isi rumah seperti dalam sektor perumahan dan kredit personal.

Komposisi hutang isi rumah terdiri daripada pelbagai tujuan. Secara umumnya, pinjaman rumah kediaman meliputi kira-kira 53 peratus atau RM628 bilion manakala baki 47 peratus atau RM555 bilion adalah untuk perbelanjaan personal seperti kad kredit, pinjaman kenderaan dan peribadi. Walau bagaimanapun, jumlah aset isi rumah melebihi hutang sebanyak 4.1 kali. Aset kewangan isi rumah berada pada tahap 2.2 kali daripada hutang dan sebahagian besarnya adalah dalam bentuk kewangan mudah tunai.

Pinjaman rumah kediaman teguh menyokong pertumbuhan kredit. Sehingga Jun 2019, sebanyak RM78.9 bilion pinjaman perumahan baharu diluluskan kepada lebih 180,000 peminjam. Sebanyak 44 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan adalah pembeli rumah kali pertama. Kebanyakan kelulusan yang diberikan ialah untuk pembiayaan akhir bagi rumah kediaman sama ada daripada bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (Rajah 2).  Selain itu, daripada LPPSA sahaja, sejumlah RM20 bilion diluluskan sejak ditubuhkan pada Januari 2016 hingga Jun 2019.  


Pada bulan Mac 2017 lalu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mendedahkan kenaikan hutang isi rumah banyak disumbangkan oleh sektor pinjaman atau pembiayaan peribadi yang diberikan oleh Institut Kewangan Bukan Bank (IKBB) atau boleh juga diistilahkan sebagai ‘shadow banking system’. Sasaran utama IKBB adalah dalam kalangan penjawat awam. Lebih 80 peratus hutang yang diluluskan IKBB kepada penjawat awam adalah mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Bertitik tolak daripada itu, wujud kebimbangan yang relevan terhadap prestasi pinjaman kewangan dalam kalangan penjawat awam. Jumlah hutang penjawat awam bersamaan dengan 20 peratus atau RM236 bilion daripada keseluruhan hutang isi rumah pada akhir Februari 2018. Berdasarkan profil, 62 peratus daripada peminjam adalah bersumberkan IKBB dan 47 peratus daripada tujuan pinjaman adalah bertujuan untuk penggunaan seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan kenderaan.

Jika dibandingkan antara hutang penjawat awam dengan hutang isi rumah, lebih separuh daripada pendapatan bulanan penjawat awam telah digunakan untuk membayar balik pinjaman (Rajah 3). Kumpulan penjawat awam berpendapatan bulanan di bawah RM5,000 secara purata telah membelanjakan 54 peratus daripada perbelanjaan untuk membayar hutang. Komposisi hutang mereka yang terbesar adalah pinjaman rumah kediaman dan pinjaman peribadi.

Contoh tipikal syarikat Pemberi Pinjam Wang atau telah dijenamakan sebagai Kredit Komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah koperasi. Pelbagai koperasi menawarkan pinjaman mudah dengan had pinjaman yang tinggi. Tambahan pula, spesifikasi pinjaman yang ditawarkan oleh Kredit Komuniti jauh berbeza dengan institusi perbankan di bawah Bank Negara Malaysia.

Kredit Komuniti boleh menawarkan pinjaman peribadi sehingga RM200,000. Kadar faedah setinggi 15 peratus setahun, tempoh pinjaman selama 10 tahun, mudah lulus walaupun terpalit dengan penyenaraian hitam dan melebihi nisbah khidmat hutang yang pruden. Pinjaman melalui Kredit Komuniti boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja meskipun hanya dengan melampirkan dokumen peribadi yang mudah.

Tawaran penarafan kredit rendah akan meningkatkan peluang untuk membuat pinjaman. Persoalannya, adakah ia berisiko? Ya, melonggarkan syarat pinjaman (subprime lender) sangat berisiko dan kegagalan membayar hutang lebih tinggi. Sekiranya ramai peminjam tidak mampu membayar hutang, maka ia turut akan mengheret institusi kewangan kepada tahap kemeruduman yang lebih teruk. Tidakkah kita masih ingat apa yang berlaku dalam krisis subprima di Amerika Syarikat pada tahun 2007/2008?

Bank Negara Malaysia melaporkan pinjaman isi rumah yang telah diluluskan dengan nisbah khidmat hutang melebihi 60 peratus telah meningkat secara konsisten dari tahun 2013 hingga S1 2019 (Rajah 4). Keadaan ini menunjukkan piawaian pinjaman telah dilonggarkan. Golongan yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000 sebulan lebih mudah terdedah dengan risiko kewangan, manakala golongan yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan semakin berkurangan.

Lebih membimbangkan, kadar kes kebangkrapan masih berada pada kadar yang agak tinggi. Pada 17 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendedahkan statistik yang diperolehi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia di Dewan Rakyat. Sehingga Ogos 2019, jumlah kes kebangkrapan yang telah direkodkan adalah sebanyak 300,908 kes. Pada lapan bulan terawal tahun 2019, seramai 7,871 individu telah diisytiharkan muflis, dan menjadikan jumlah kes keseluruhan dalam tempoh 56 bulan kebelakangan ini adalah 80,625 orang.   

Berdasarkan statistik tersebut, 56 peratus daripadanya terdiri dalam kalangan orang Melayu, 69.7 peratus adalah lelaki dan 35 peratus pula adalah individu yang berusia antara 35 hingga 44 tahun. Perkara ini menuntut kepada satu kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat terutamanya belia untuk lebih bersistematik dalam merancang kewangan peribadi. Kurikulum yang lebih formal harus dibentuk sejak daripada peringkat awal supaya dapat melengkapkan diri mereka dengan kefahaman serta tindakan yang betul.

Dalam hal ini, kita mengalu-alukan pelan tindakan yang telah diambil oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FE Network) yang terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Pendidikan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dengan memperkenalkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 pada bulan Julai yang lalu. Ia harus didukung dengan beberapa perkara lain termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna, pengunderaitan IKBB dan promosi produk kewangan Islam.

Namun, setakat mana keberkesanan pelan ini sama-samalah kita saksikan nanti.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

7 November 2019 – HARAKAHDAILY 7/11/2019