Debat: ‘Saya bersedia’ – Fadhli Shaari

SAYA meneliti patah-patah tulisan YB Sim Chee Keong seperti yang disiarkan di laman portal https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/195229. Artikel ini sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau ialah jawapan kepada YB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang telah meminta supaya satu siasatan dibuat ke atas ucapan Menteri Kewangan di Johor pada 3 November 2019.

Advertisement

Saya paling tertarik di bahagian akhir tulisan YB Sim Chee Keong  yang menyebut bahawa, “.. saya dengan ini menjemput Tuan Ibrahim, untuk berdebat dengan saya di hadapan Rakyat Malaysia dan saya akan mengemukakan bukti-bukti bahawa politik PAS merupakan bahaya kepada Malaysia”.

Pada saya, bahagian akhir ini merupakan satu bahagian yang paling menarik. Jarang sekali dapat ditemui pemimpin DAP bersedia untuk berdebat secara terbuka seperti ini di khalayak ramai. Apa yang ada sebelum ini ialah pemimpin DAP yang membatalkan hasrat untuk berdebat atas kebimbangan menggugat kestabilan kaum.

Justeru, saya tidak berminat untuk menjawab fakta-fakta tulisan YB Sim Chee Keong  yang pada saya sangat tersasar jauh dan hanya mengungkit cerita-cerita lama yang lebih bersifat persepsi. Jika YB Sim Chee Keong  menyatakan politik gaya PAS bahaya untuk negara, saya pula ingin menyatakan bahawa politik gaya DAP merupakan gaya politik jahat yang akan meruntuhkan negara jika dibiarkan berleluasa.

Saya ingin nyatakan kepada YB Sim Chee Keong , tidak perlu untuk mempelawa Timbalan Presiden PAS yang jauh lebih tinggi hiraki kepimpinan di dalam parti berbanding beliau untuk berdebat. Apatah lagi dipisahkan dengan usia yang jauh berbeza, kelihatan pelawaan YB Sim Chee Keong  lebih bersifat lawak jenaka semata-mata.

Saya dengan rendah diri menawarkan untuk berdebat dengan YB Sim Chee Keong  di hadapan rakyat Malaysia pada mana-mana pentas bebas yang boleh dirancang selepas ini. Tajuknya mudah, ‘PAS atau DAP Yang Bahaya Untuk Negara’. Saya fikir tiada halangan untuk YB Sim Chee Keong  menerima pelawaan ini. Dayung sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas

Bertarikh : 7 November 2019 – HARAKAHDAILY 7/11/2019