Gajah mati, pinda segera akta

Kenyataan Media

Advertisement

Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam hidupan liar yang semakin membimbangkan dalam negara kita. Pada 2018 sahaja, lebih daripada 30 ekor gajah pygmy Borneo mati di Sabah. Hal ini juga susulan kematian spesies gajah pygmy Borneo dalam tempoh tiga bulan berturut-turut berlaku dalam negara kita.

Saya mendapat maklum, pada 25 September lalu gajah pygmy Borneo di Sungai Dumpas, Kalabakan,Tawau ditemui mati akibat tembakan senjata api dengan 70 peluru berada di dalam badan haiwan tersebut.

Kedua, gajah pygmy Borneo ditemui mati di ladang sawit Beluran dengan kesan tembakan malah gading gajah tersebut didakwa telah hilang pada 19 Oktober lalu. Manakala, bangkai seekor gajah pygmy Borneo ditemui lagi terapung di Sungai Kinabatangan dengan pergelangan kaki belakang bangkai gajah tersebut dipotong baru-baru ini.

Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan dan langkah yang benar-benar serius, tidak mustahil spesies gajah ini yang kurang daripada 2,000 ekor di Sabah akan pupus dalam negara kita. Perkara ini tidak berperikemanusiaan kerana hasil siasatan kematian gajah dalam negara kita kebanyakkannya diracun, ditembak dan dijerat.

Persoalannya, sampai bila pembunuhan haiwan liar terutama spesies gajah pygmy Borneo akan berakhir?

Sudah tiba masanya, pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 disegerakan dalam tempoh terdekat di Parlimen dan diteliti secara mendalam terutama dari segi hukuman dan denda yang lebih berat selain hukuman penjara mandatori dan sebat dikenakan ke atas pemburu haram yang bersalah.

Selain itu, usaha untuk memusnahkan kawasan jerat iaitu Projek Stampede wajar dilakukan secara konsisten di seluruh hutan negara selain pemantauan serta penguatkuasaan yang berterusan dan tegas. Malahan, Kerajaan juga perlu mengetatkan undang-undang dan menyemak balik peraturan pemilikan senjata api supaya tidak mudah diselewengkan atau disalahguna.

Saya menyambut baik usaha Kerajaan berkolaborasi dengan agensi terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menangani isu ini. Namun begitu, sejauh mana keberkesanan tindakan yang dilakukan dalam membanteras isu ini yang kini semakin serius.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman

07 November 2019| 10 Rabiulawal 1441H