Lokasi minyak: Pusat cuba sembunyi fakta

Advertisement

KOTA BHARU: Pemimpin kerajaan pusat dianggap sengaja menyembunyikan fakta sebenar lokasi pengeluaran petroleum yang terdapat di perairan Kelantan.

Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata, Medan Bumi Selatan dan Suria Selatan yang diakui menjadi hak Kelantan terletak dalam kawasan blok PM 301.

Katanya berdasar peta Blok PM301 turut merangkumi sembilan medan dan bukan hanya dua medan sahaja seperti diumumkan menteri.

“Bagaimana pula dengan tujuh medan lagi iaitu Bunga Kamelia, Bunga Zetung, Bunga Anggerik, Bunga Kesumba, Bunga Melati, Ular dan Gajah.

“Ini faktanya. Bukti kekal bukti, suatu masa nanti tentunya akan terbongkar juga,” katanya di sini.

Pada 30 Oktober lepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan hanya dari Bumi Selatan dan Suria Selatan.

Ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 katanya, 10 lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Nazri juga berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti mahu menafikan wujudnya telaga-telaga minyak di perairan Kelantan.

“Soalnya kenapa baharu sekarang terdapat dua telaga tersebut. Adakah ia baru sahaja dibina pada 2019,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2019