PAS bentuk kerjasama jamin hak Borneo

MIRI: PAS Negeri Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Labuan telah membentuk kerjasama ‘PAS Borneo’ yang telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di Kundasang awal minggu ini.

Advertisement

Menurut Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, antara diangkat dan dipersetujui adalah untuk menegakkan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, sekali gus mengekang segala salah faham yang cuba dipolitikkan pihak tertentu.

Akui beliau, wujud eksploitasi oleh parti politik tertentu atas kepentingan mereka dengan menimbulkan salah faham terhadap perkara berkaitan hak dalam perjanjian tersebut hingga berbangkit kedinginan dan jurang hubungan.

Beliau turut menyatakan kesediaan PAS Sarawak membentuk kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti politik lain termasuk BERSATU dan PKR demi mengekalkan kepentingan Bumiputera.

“Kami berharap muafakat itu akan menjadi bermakna kepada perjuangan PAS dalam memastikan kepentingan Bumiputera dan Perjanjian Malaysia 1963 dijaga,” katanya.

Jofree turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa PAS hanya berjuang untuk umat Islam dan Semenanjung Malaysia pada majlis yang dihadiri semua pemimpin tertinggi PAS dari Sarawak, Sabah dan Labuan itu. – HARAKAHDAILY 7/11/2019