PAS telah siap sedia hadapi PRN Perak

    TELUK INTAN: PAS Negeri Perak telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak pada bila-bila masa dengan Muafakat Nasional telah dimeterai menjadi kaedah penting memacu kerjasama dalam PRN itu nanti.

    Advertisement

    Malah, PAS dan Umno telah bersetuju tidak akan berlaku pertembungan kerusi dalam PRN itu, demikian nada bersama oleh Ahli Perhubungan PAS Perak, Mohd Azhar Rafiei dan Adun Changkat Jong, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin.

    Kedua-dua mereka berkata demikian di Forum Bicara 2 Azhar bertajuk “PRN Berlaku di Perak?” anjuran PAS Kawasan Teluk Intan di Markaz PAS Cawangan Batu 3 Taman Cecerly, di sini malam kelmarin.

    Azhar yang juga Naib Yang DiPertua PAS Teluk Intan yakin bahawa Muafakat Nasional telah memberi kesan baik kepada rakyat di negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.

    Katanya, petanda positif dapat dilihat dengan lonjakan sokongan melalui program dan perjumpaan yang diadakan di mana rakyat telah menyambut baik kerjasama PAS dan Umno. 

    Menurut beliau, rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan Kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan pemimpinnya mula berbalah sesama sendiri.

    Tambahnya lagi, rakyat tidak sabar untuk mengubah kerajaan kerana  pemimpin PH kerap campur tangan dalam pelbagai urusan berlaku termasuk di masjid-masjid di negeri ini.

    Sementara itu Dato’ Mohd Azhar yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Intan berkata, Kerajaan PH Perak disifatkan sebagai tidak stabil kerana perbalahan sesama sendiri dalam parti DAP dan komponennya.

    Menurutnya, perbalahan pemimpin DAP tersebut serius dan umpama retak menunggu belah.

    “Ini dibuktikan dengan perletakan jawatan dua Adun DAP sebagai Jawatankuasa DAP Perak baru-baru ini yang tidak berpuas hati dengan Pengerusinya, Nga Kor Ming berkaitan isu kes rogol Ahli Exco Kerajaan Perak, Paul Yong.

    “Apa yang jelas isu berkaitan nasib rakyat seperti kemudahan rakyat,  kenaikan harga barang dan kejatuhan harga harga sawit diabaikan oleh mereke,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2019