Pembalakan di Hutan Simpan Piah musnah tadahan air

    LENGGONG: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Lenggong menggesa semua pihak menyokong tindakan penduduk membantah cadangan pembalakan di kawasan tadahan air yang dilakukan di Hutan Simpan Piah, di sini.

    Advertisement

    Pengerusi LATAS PAS Lenggong, Zainuddin Abdul Rahim berkata, cadangan pembalakan di kawasan tadahan air di mana-mana sahaja wajar dielakkan kerana kesannya sangat merugikan banyak pihak, terutama penduduk setempat.

    Menurutnya, kesan atau akibat daripada penebangan dan pengambilan balak selain menyebabkan air keruh, akan berlaku pencemaran air minum dan kerosakan alam sekitar, serta kemusnahan habitat haiwan liar dan sebagainya.

    “Atas alasan atau apa tajuk sekalipun, pembalakan tetap akan menjejaskan kelestarian dan keindahan kepelbagaian khazanah hutan. Kerana kerakusan manusia, mereka akan menggunakan pelbagai alasan bagi menghalalcara asalkan hasrat mereka tercapai.

    “Dengan rakus mereka tidak akan mengambilkira mengenai kemusnahan alam sekitar serta kesannya. Justeru itu semua pihak sewajarnya bersatu memberikan sokongan padu kepada penduduk dalam usaha membantah cadangan pembalakan di kawasan tadahan air mereka,” gesanya.

    Beliau menegaskan demikian pada majlis dialog yang turut disertai Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Hal Ehwal Orang Asal (LPTHEOA) PAS Lenggong, Mohd Hatta Abdul Aziz dengan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Luat Tengah, di sini semalam.

    Antara pimpinan PAS Kampung Luat Tengah yang hadir sama adalah Naib Ketua PAS, Mustafa Kamal Ibrahim dan Bendahari, Mohd Yusof Mohd Sea’at serta Ketua Penerangan, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin.

    Mohd Hatta yang turut menyokong penuh bantahan itu,berkata, para penduduk di beberapa kampung lain yang terlibat dengan cadangan pembalakan, sewajarnya turut bersatu membuat bantahan.

    Serunya, jangan hanya kerana ada sedikit ‘habuan’ daripada pihak-pihak tertentu, kepentingan seluruh penduduk diketepikan.

    Sementara itu Mustafa Kamal berkata, setakat ini pihak berkenaan telah akur dengan bantahan lebih 900 penduduk, tetapi tidak pasti sama ada ianya terhenti setakat itu.

    Beliau difahamkan, sebelum ini cadangan pembalakan itu membabitkan dua kompartmen meliputi kawasan seluas 1,000 hektar.

    Kawasan itu adalah kawasan tadahan air di mana terdapat Empangan Perbekalan Air Paip Luar Bandar Kampung Luat yang dibina sejak lebih 50 tahun lalu. – HARAKAHDAILY 7/11/2019