Perlukan wakil kaum Cina moderat, tidak ekstrem

SETIAUSAHA Agong PAS, Dato’ Takiyuddin Hasan mengetuai pimpinan dan petugas Pilihan Raya PAS Negeri Johor untuk PRK Tanjung Piai mengunjungi Pusat Operasi Pilihan Raya MCA Tanjung Piai pagi tadi.

Kehadiran kami disambut oleh Naib Presiden MCA, Dato’ Seri Ti Lian Ker dan calon BN, Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng serta Timbalan Setiausaha Agong MCA serta beberapa pimpinan kanan MCA.

Advertisement

Dato’ Takiyuddin menjelaskan beberapa pendirian PAS terhadap masyarakat majmuk, senario politik semasa, sikap terbuka dan penghargaan PAS terhadap masyarakat Cina yang memahami asas-asas kenegaraan Malaysia.

Kerjasama PAS adalah satu keperluan untuk mengukuhkan pakatan pembangkang di Malaysia pada waktu ini memandangkan MCA dan MIC (masyarakat India) hanya ada satu kerusi di Parlimen. MCA perlu menang bagi mewakili masyarakat Cina yang moderat dan tidak ekstrem, sama ada sebagai pakatan pembangkang dan untuk membentuk kerajaan pada masa depan bersama Muafakat Nasional.

Dato’ Seri Ti Lian Ker mewakili MCA merakamkan terima kasih kepada PAS atas sokongan dan bantuan yang diberikan di PRK Tanjung Piai. Mereka mengakui kehebatan dan kebaikan PAS (disebut kesucian), disiplin ahli-ahli PAS yang sangat tinggi dan keterbukaan pimpinan PAS untuk bertemu dan bekerjasama dengan pihak lain demi keharmonian rakyat Malaysia.

MCA sangat menghargai ucapan Presiden PAS dalam majlis ceramah perdana malam tadi yang sangat jelas, padat dan tegas. Itulah sikap seorang pemimpin yang perlu ada di negara ini. Itulah kali pertama pemimpin MCA mendengar sendiri daripada mulut pemimpin nombor satu PAS mengenai pendirian PAS dan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Mereka sangat bersyukur kerana melalui kerjasama di Tanjung Piai, satu halangan besar perkauman dan kebimbangan yang menjadi taboo dalam politik Malaysia telah dapat dilepasi.

Sekian lama DAP dan sesetengah pemimpin masyarakat Cina memainkan sentimen perkauman untuk menakut-nakutkan MCA dan masyarakat Cina supaya menjauhi PAS, khususnya tentang dasar Islam perjuangan PAS.

Mereka bertujuan membunuh sama sekali MCA daripada pentas politik Malaysia, apabila ada usaha mendekati satu sama lain. Kali terakhir ialah di PRK Balakong, bila DAP menyebarkan persepsi kerjasama PAS-MCA untuk menjauhkan pengundi Cina daripada MCA.

Terbukti pada hari ini, yang sangat rasis dan bahaya kepada masyarakat Malaysia ialah DAP. Apabila mereka sibuk dan terkapai-kapai dalam Kerajaan PH yang huru-hara, mereka tak ada masa untuk meniupkan sentimen rasis untuk menjauhi PAS dan masyarakat Cina. Pertemuan ini sangat bersejarah, dan akan membuka lembaran baru politik Malaysia.

Dato’ Seri Ti Lian Ker dan Dato’ Takiyuddin Hasan adalah rakan sekuliah dan sama-sama memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya satu ketika dulu sebagai Presiden dan SU Agong MPPUM.

Catatan:
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah Jawatankuasa Induk PAS
PRK Tanjung Piai – HARAKAHDAILY 7/11/2019