Royalti: Persempadanan laut satu helah

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menggunakan alasan persempadanan laut dsifatkan hanyalah helah untuk tidak melunaskan bayaran royalti kepada Kelantan, demikian bidas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzukh Shaary.

Advertisement

Katanya, berdasarkan perjanjian 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada Kerajaan Negeri Kelantan secara bayaran tahunan sebanyak 5 peratus daripada nilai petroleum yang diperolehi di perairan negeri itu.

Beliau mempersoalkan jumlah sebenar pengeluaran daripada operasi Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) kerana apabila dirujuk kepada Dokumen Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan Tahun 2018 hingga unjuran 2020 didapati secara puratanya jumlah diterima kerajaan adalah sekitar RM1.7 bilion setahun.

“Sekiranya diambil sifir mudah jumlah pengeluaran mungkin sekitar RM35 bilion setahun. Oleh itu, Kerajaan Negeri Kelantan juga berhak mendapat hasil daripada operasi Petroleum daripada kawasan MTJA ini,” katanya kepada Harakahdaily merujuk laporan BERNAMA bertarikh 22 September 2019, MTJA contoh Kemakmuran Bersama Maritim.

“Kedua-dua negara jiran menandatangani perjanjian untuk bersama-sama meneroka dan mengeksploitasi sumber tidak hidup di Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) kira-kira 7,250 kilometer persegi, terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan dan 260 kilometer dari Songkhla, Selatan Thailand untuk manfaat bersama dan sama rata dari kedua-dua negara,” ujarnya.

Jelasnya, merujuk laporan tersebut membuktikan tidak timbul isu persempadanan laut, malahan wang yang seharusnya diterima oleh Kelantan bukan disalurkan kepada Akaun Terimaan Tidak Diperuntukkan (AATD).

Berikutan daripada itu, beliau meminta Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah hasil yang diperolehi daripada Petronas menerusi operasi MTJA dan jumlah sepatutnya Kerajaan Kelantan perolehi.

Namun, beliau tetap berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana akhirnya mengiktiraf bahawa 10 medan minyak daripada dua lapangan besar yang terletak di Kelantan iaitu lapangan Bumi Selatan dan lapangan Suria Selatan.

Sementara itu, katanya terdapat 10 kawasan medan minyak yang royalti sudah dilunaskan kepada Petronas, namun ditahan di bawah akaun AATD kerana berlakunya pertindihan di antara perairan Kelantan dan Terengganu.

Namun, sekiranya medan minyak yang dikatakan bertindak tersebut telah dipersetujui oleh kerajaan negeri masing-masing seperti disebut dalam ‘journal oil and gas‘ bahawa 20 peratus telaga minyak berada dalam negeri Terengganu dan 80 peratus berada dalam perairan negeri Kelantan.

“Jadi, kalau ada persetujuan di antara dua negeri ini, adakah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melunaskan bayaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan hasil daripada telaga minyak yang dikatakan bertindih itu?” soalnya.

Bagaimana pun menurutnya, masih terdapat 14 telaga minyak yang langsung tidak bertindih dan tidak ada pertikaian sempadan laut, namun tetap juga dinafikan.

“Terdapat 14 telaga minyak yang langsung tidak bertindih dan tidak ada pertikaian sempanan laut iaitu Telaga Bunga Dahlia, Bergading 1, Bergading B, Bergading C, Bergading D, Bunga Teratai, Bunga Kamelia, Bunga Kesumba, Bunga Anggerik, Bunga Zetung, Ular, Gajah dan Bunga Melati.

“Apakah kerajaan akan menggunakan sebagaimana hujah yang terbaru digunakan oleh kerajaan untuk menafikan bayaran royalti terus kepada Kelantan?

“Saya ingin minta penjelasan berapa jumlah hasil yang diperoleh Petronas kepada kerajaan daripada kedua-dua lapangan ini dan berapa pula royalti yang seharusnya dibayar oleh Kementerian Kewangan kepada Kelantan daripada kedua-dua lapangan ini?” mintanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2019