Aktivis dapati ramai remaja tidak kenal Rasulullah

TEMERLOH: Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan program Street Dakwah yang dijalankan di sekitar Bandar Temerloh, di sini semalam.

Advertisement

Ianya diadakan khas sempena Maulidur Rasul dengan menemui setiap mad’u di premis-premis perniagaan, perhentian bas dan tempat tumpuan awam mengedarkan risalah mengenai Nabi Muhammad.

Tujuan Street Dakwah kali ini juga sebagai mencerap reaksi lapangan dalam kalangan masyarakat terutama sikap, pengetahuan dan kesedaran mereka dalam mengenali Baginda Rasulullah S.A.W.

Para pendakwah Muslimat PAS Temerloh mendapati rata-rata kebanyakan remaja mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai Baginda, termasuk keliru apabila diminta untuk berselawat.

Ianya berbeza dengan anak-anak kecil di peringkat sekolah rendah yang lebih mengenali Rasulullah dan tahu berselawat, namun menariknya apabila sebilangan kaum Cina mengenali Nabi Muhammad.

Memberi semangat dan rangsangan kepada peserta aktiviti lapangan disertai aktivis Muslimat PAS Kawasan dan Cawangan ini adalah Ketua Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Morsidah Mohd Amin berharap program seumpama ini dipergiatkan lagi terutama dalam tuntutan mengenalkan Islam kepada semua. – HARAKAHDAILY 10/11/2019