Idealogi yang dipasarkan

ERA Globalisasi umpama pasar idealogi

(1)     Internet merupakan langit yang terbuka untuk persaingan ‘syarikat-syarikat korporat’ memasarkan idealogi masing-masing modalnya cuma internet dan handphone, atau komputer.

Mereka yang lambat, atau tidak ambil bahagian dalam pasaran ini akan mensia-siakan peluang yang terbuka luas ini. Tidak ramai yang menyedari hakikat ini.

Sebab itulah majoriti pengguna internet khususnya FB, Instagram dan lain-lain hanya lebih suka berbual kosong. Kalau baik sikit, sembang atas nama ukhuwwah.

Penggunaan whatsapp juga tidak kurang hebat sambutannya. Ada yang memanfaatkannya, ada yang mensia-siakannya dengan benda ‘merapu’.

(2)     Bagi sesetengah pemikir, mereka lebih suka mengkaji, membaca, meneliti dan menduga. Ruang yang tersedia tidak digunakan untuk memasarkan idealogi, tetapi lebih kepada men ‘survey’ produk-produk yang dipasarkan untuk mengagendakan sesuatu.

Walaupun kita lihat mereka memasarkan idealogi mereka yang diprodukkan itu, dalam masa yang sama mereka sentiasa mengintai konsep Islam untuk diolah sebagai produk mereka (cetak rompak).

(3)     Sepertimana yang ketahui, Barat hakikatnya sedar bahawa Islam itu ada penyelesaian segala masalah, namun mereka enggan menerimanya atas sebab pertentangan dengan selera mereka.

Contohnya Islam menentang Kapitalism, manakala Amerika sangat taksubkan Kapitalism kerana mengkayakan golongan tertentu. Jadi, sudah pasti mereka enggan menerima Islam.

Cabaran memasarkan idealogi

(1)     Di dalam beberapa dapatan, mereka ada yang sangat yakin dengan Islam. Cuma mereka tersekat dengan selera nafsu mereka. Sekularism antara idealogi yang paling laris. Biasanya ia dibungkus satu paket dengan Liberalism.

Kedua-dua ini terkandung di dalam paket demokrasi. Justeru, mereka yang memasarkan demokrasi tidak lain dan tidak bukan hanya untuk melariskan Liberalism dan Sekularism.

(2)     Manakala Umat Islam pula dilihat lebih suka memasarkan produk idealogi Islam (Fikrah Islamiah) hanya dalam kelompok sendiri sahaja. Menjadikan pasarannya kecil dan tidak meluas.

Antara sebabnya, idealogi Islam itu ada yang dipaketkan oleh orang Islam bersama Sekularism, ataupun Liberalism atas nama Post Islamism. Menyebabkan para pembeli tidak nampak Fikrah Islamiah di situ melainkan hanya Sekularism 2.0 atau Liberalism 2.0.

(3)     Barat membuka pasaran baru yang dinamakan ‘era globalisasi’ dengan bermodalkan internet pada pertengahan 90-an. Mereka bersungguh untuk menguasai pasaran tersebut.

Namun, pesaing-pesaing mereka turut berpotensi mencabar penguasaan dan monopoli Barat di pasar tersebut sepertimana kajian-kajian yang telah dibentangkan sebelum ini.

Antaranya Moises Naim dengan pembentangannya yang bertajuk ‘Why Democracies are at a Disadvantage in Cyber Wars’ yang disiarkan di dalam Journal Of International Affairs.

Bahasa mudah kita, bukan semua orang di dunia ini percaya kepada sistem Barat. Tetapi mereka seolah-olah dipaksa menerima hakikat itu. Seperti seseorang yang ‘gigih’ untuk tidak gunakan handphone.

Idealogi Islam mendapat perhatian Barat

Idealogi Islam hakikatnya mendapat perhatian Barat. Contohnya kita boleh lihat penjajahan Mesir di akhir Kurun ke 17, oleh Napoleon Bonaparte.

Dikatakan beliau adalah tokoh yang hebat dalam menyusun undang-undang, yang dikenali sebagai Kod Napoleon (Code Civil Des Francais) yang diterbitkan pada 1804.

Apabila dikaji dan diteliti, rupa-rupanya undang-undang yang serba lengkap dan hebat itu telah disusun oleh para Ulamak di Mesir sebelum itu.

Ketika Napoleon menguasai Mesir pada 1798-1801 beliau mengambil kesempatan untuk menyusun undang-undang, dengan menjemput para cendikiawan Mesir untuk hadir dan merangka sebuah undang-undang.

Para Ulamak ketika itu menyusun undang-undang mengikut laras Mazhab Hanafi. Setelah siap disusun dan diisytiharkan, dunia mengiktiraf undang-undang tersebut sangat hebat.

Napoleon pula yang dapat nama. Robert B. Holtman, di dalam bukunya, The Napoleonic Revolution, menceritakan beberapa kandungan Kod Napoleon.

Antaranya menolak unsur pengkastaan melalui kelahiran, memberi kebebasan beragama, dan jawatan mesti diberikan kepada mereka yang berkelayakan.

Sehingga hari ini Kod Napoleon dianggap undang-undang yang hebat dan luar biasa kerana sangat seimbang dalam segenap aspek kehidupan masyarakat.

Ia dianggap sebagai Undang-undang Sivil pertama yang berjaya dan banyak memberi kesan terhadap perundangan di banyak negara termasuk di Asia Tenggara.

Sarjana Barat mengakui kebenaran Islam

Dalam pada itu, beberapa pengkaji Barat sendiri pernah mengakui kebenaran Islam. Hal ini dimuatkan oleh Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya الدعوة الاسلامية وإنقاذ العالمي

(1)     Dalam majalah الامان اللبنانية siri 57, tahun 1980, seorang pemikir Perancis, yang bernama ديباسكيية mengatakan,

‘Sesungguhnya dunia Barat belum pernah mengetahui agama Islam, dari sejak Islam muncul, dunia berat sudah memusuhinya, mereka tidak hanya mencari-cari alasan untuk bisa memeranginya, hal ini mengakibatkan keyakinan-keyakinan yang salah mengenai Islam pada masyarakat Barat, tidak diragukan lagi, bahawasanya agama Islam adalah satu-satunya hal yang diperlukan dunia saat ini, agar bisa selamat dari keadaan dunia saat ini yang sangat metrealis, yang pasti nantinya hanya akan menghancurkan manusia itu sendiri’

(2)     Di dalam buku عقيدة الاسلام أيدلوجية المستقبل karangan Dr Mahdi Abud, menukilkan kata-kata شبنلجز;

‘Sesungguhnya setiap ketamadunan itu ada putaran orbitnya. Terbenam di satu arah, dan terbit di arah yang lain. Sesungguhnya ketamadunan yang baru, menyerupai terbit matahari dalam gambaran yang menarik. Iaitu ketamadunan Islam yang memiliki kekuatan paling kuat, dari segi spiritual, antarabangsa, dan kejernihan’

(3)     Syeikh Yusof al Qaradawi di dalam bukunya شريعة الاسلام menukilkan kata kata شبريل pada tahun 1927,

‘Sesungguhnya nilai kemanusiaan sepatutnya berbangga dengan nisbah kepada Nabi Muhammad S.A.W, apatah lagi sifat ‘buta huruf’ di era belasan kurun sebelum ini, datang dengan syariat. Menjadikan kami orang-orang Eropah lebih gembira sekalipun ia sampai kepada kami selepas 2000 tahun’

(4)     Beliau juga turut menukilkan kata kata إيزكوانساباتو,

‘Sesungguhnya syariat Islam mendominasi banyak kajian-kajian Barat. Bahkan, ia jualah yang memberikan sistem yang terbaik untuk dunia’.

Pasaran Idealogi Barat menghadapi persaingan

(1)     Sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel sebelum ini saya ada menyiarkan tulisan Professor Matthew Flynn yang mengulas dalam tulisan Moises Naim tadi dengan tajuk ‘Winning The Cyberwar’.

Matthew Flynn mengatakan bahawa isu persaingan Siber perlu dilihat dalam skop yang terbuka. Kewujudan pemberontak siber seharusnya dilihat dari sudut positif, dan boleh dimanipulasi menjadi manfaat.

Iaitu semua pihak berhak bersaing untuk ‘memasarkan’ idea masing-masing, dan berhak mengatur strategi masing-masing. Sebab itulah beliau menggesa supaya mereka perlu memenangi game ini.

(2)     The Washington Post menyiarkan artikel pada 23 Julai 2019 bertajuk ‘China Is Winning The Ideological Battle With The US’ meletakkan 3 argumen menyatakan China mengalahkan US dalam Perang Idealogi.

a-     Pimpinan Komunis China menghasilkan pertumbuhan tahunan purata hampir 10 peratus selama empat dekad dengan menggunakan liberalisasi ekonomi yang dicipta oleh Barat.

Atau dengan kata lain, Barat mencetuskan idealogi Liberalism dalam ekonomi. Tetapi China mengambil sistem itu dan akhirnya lebih hebat dari Barat itu sendiri dalam sistem ini.

b-     Dari sudut Demokrasi, Barat mencipta sistem ini dan memasarkannya ke seluruh dunia. China mengambil sistem ini dan menghasilkan pemodenan politik.

c-     Sejak 4 dekad yang lalu, banyak cendikiawan China datang ke Barat mengkaji ketamadunan dan mengkagumi mereka. Justeru, China lebih kenal idealogi Barat berbanding Barat yang tidak kenal China.

Barat memasarkan Idealogi Islam yang tiruan

Di dalam menceritakan tentang idealogi yang dipasarkan, kita akan temui ramai pengkaji memberi fokus yang lebih kepada dua peristiwa penting,

(1)    Perang dingin 1945 hingga 1991

(2)     11 September 2001

(1)     Antara kajian yang menjadi perhatian yang ditulis oleh John Lenczowski dengan tajuk Political-Ideological Warfare in Integrated Strategy, and its Basis in an Assessment of Soviet Reality sebanyak 49 halaman.

Beliau merupakan orang penting dalam mencorakkan kehendak Presiden Amerika Ronald Reagen sekitar awal 80an. Era pertempuran sengit antara Amerika dan Soviet.

a-     Umum mengetahui, pertempuran kedua-duanya adalah dalam bentuk persaingan idealogi. Bahasa mudahnya, idealogi mana yang lebih laris samada produk keluaran Amerika, ataupun Soviet.

b-     Beliau menyatakan bahawa pertembungan dua kuasa ini ialah antara Sosialism dan Kapitalism. Umum mengetahui Amerika memasarkan idealogi Liberalis Kapitalis, manakala Soviet memasarkan idealogi Komunis Sosialis.

(2)     Selain itu, RAND Corporation menerbitkan satu kajian yang bertajuk Building Moderate Muslim Networks yang disediakan oleh 4 penulis kritis Angel Rabasa, Cheryl Benard, Lowell H. Schwartz dan Peter Sickle.

Kajian sebanyak 217 halaman ini mengkaji tentang strategi Amerika berhadapan dengan Soviet di Perang Dingin, dan diaplementasikan dalam membina jaringan Muslim Moderate.

a-     Antara strategi yang diatur ialah memecahkan ‘jenis-jenis’ orang Islam seperti Sekularis, Modernis, Fundimentalis, Tradisionalis dan sebagainya. Kemudian mencari peluang yang sesuai untuk cetuskan pertembungan.

b-     Antara yang dikemukakan ialah bagaimana menjadikan jaringan Muslim Moderate ini begitu laris pasarannya. Antaranya dengan mempertembungkan dengan golongan radikal.

c-     Contohnya ISIS, yang dibentangkan dalam kajian-kajian mereka bahawa ia adalah sebuah idealogi Islam yang radikal. Hakikatnya ia adalah tajaan mereka juga.

Justeru, dengan kewujudan ISIS yang didakwa memasarkan idealogi mereka ini, menyebabkan Jaringan Muslim Moderate semakin laku keras.

Muslim Moderate: Produk Barat

Dalam kajian RAND Corporation yang dijelaskan tadi juga turut menjelaskan tentang kaedah mem ‘branding’ Muslim Moderate supaya ‘laku keras’.

Mereka mentakrifkan ‘Muslim Moderate’ sebagai orang Islam yang sederhana (tidak radikal) yang dipotretkan dengan wajah demokratik. Termasuk sokongan terhadap demokrasi dan hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Antara hak asasi manusia tersebut termasuklah kesamarataan jantina dan kebebasan beribadat sehingga membawa kepada Pluralism, dan dipotretkan sebagai seorang yang menghormati kepelbagaian.

Apa yang saya senaraikan di sini hanya sebagai contoh gambaran suasana ‘pasar’ idealogi. Persaingan untuk melariskan produk-produk masing-masing.

Orang-orang Islam turut digesa untuk memasarkan idealogi Islam di dalam pasar ini. Barat tidak ketinggalan untuk memasarkan idealogi Islam, tapi dengan acuan mereka lah.

Bahasa mudahnya, Barat cuba menjual produk tiruan atau cetak rompak. Mereka cuba menggambarkan ke’radikal’an Islam, untuk memastikan produk mereka laku keras.

Antara produk tiruan yang di‘copy-paste’ daripada Islam Muslim Moderate yang kononnya bersikap sederhana, setelah mana mereka potretkan Islam itu sebagai radikal.

Gerakan Islam seolah-olah tersekat untuk memasarkan idealoginya kerana terhimpit antara bertegas dengan prinsip, atau mencari kelonggaran yang dirasakan sesuai.

Walau bagaimanapun, sepertimana yang disebutkan di awal tadi, ada dari kalangan sarjana Barat yang yakin dengan penyelesaian Islam. Namun, disebabkan nafsu, mereka lebih suka terus berada sistem yang menguntungkan mereka. – HARAKAHDAILY 10/11/2019

Advertisement