Mat Motor Bikers ARC Kedah bantu masyarakat

MERBOK: Adun Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali memuji usaha baik yang berterusan yang digerakkan oleh Alternative Riding Club (ARC) Kedah dalam membantu meringankan bebanan masyarakat.

Advertisement

“Medan dakwah sangat luas malah kita merasai sudah sampai masanya kita semua bersama berperanan mengikut kepakaran dan ruang minat yang kita ada bagi berkongsi kesenangan kehidupan.

“Sekali gus sebenarnya dapat membuktikan bahawa geng bikers juga sentiasa dekat dengan rakyat dan tidak hanya sekadar hobi mat motor sahaja,” ujar Ustaz Hanif ketika ditemui selepas program di Maahad Tahfiz Tarbiyatul Barakah, Sungai Pial di sini kelmarin.

Menurut Pengarah Program Kembara Amal Unit Bikers ARC Kedah, Anuaruddin Usoff As-Shafie, khidmat masyarakat seumpama ini adalah tanggungjawab sosial semua insan.

Beliau yang juga Setiausaha ARC Kedah berharap pelaksanaan program ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan menarik minat masyarakat untuk bersama menyertai pelbagai aktiviti Unit Bikers ARC.

“Adalah menjadi kelaziman kami mengenalpasti sekolah agama, pondok pengajian, golongan fakir miskin, anak yatim dan pusat jagaan orang tua untuk disampaikan bantuan yang terkumpul,” katanya lagi.

Sumbangan berbentuk bahan makanan, derma wang ringgit dan tajaan yuran serta membawa pelajar merasai pengalaman membonceng motosikal berkuasa tinggi menjadi antara pengisian program tersebut.

Turut hadir menjayakan program seharian tersebut, Timbalan Pengarah ARC Malaysia yang juga Pengarah DACS Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar dan pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok. – HARAKAHDAILY 10/11/2019