Street Dakwah Muslimat BM ingati perjuangan Nabi

BUKIT MERTAJAM: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menjalankan Street Dakwah yang diadakan di Pasar Awam Taman Selamat, di sini semalam.

Advertisement

Program ini dijalankan khusus menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat terutama majoriti pengunjung dan peniaga bukan Islam yang ramai terdiri dari kaum Tionghua.

Ianya juga bersempena Maulidur Rasul dengan membawa roh perjuangan serta semangat Baginda Rasulullah S.A.W dalam memenuhi tuntutan sebaran dan kerencaman dakwah.

Pada program ini, aktivis dakwah Muslimat mendekati mesra setiap individu mad’u dengan risalah khas disamping memperkenalkan mereka terhadap kelebihan Islam.

Menurut Ketua Muslimat PAS Bukit Mertajam, Noriah Ibrahim, program Street Dakwah ini sebenarnya diadakan serentak oleh Muslimat PAS di semua peringkat pada hari sama.

Katanya, program ini berfokus mengenalkan Islam terutama kepada masyarakat bukan Islam ini turut dibantu Jabatan Amal Malaysia Bukit Mertajam sebagai pengiring dan keselamatan.

Turut serta dalam aktiviti di lapangan ini adalah Ketua Pemuda PAS Bukit Mertajam, Mohd Anuar Abdul Rahman yang memulakan langkah para pendakwah dengan doa. – HARAKAHDAILY 10/11/2019