Titi runtuh sukarkan urusan hidup perlu dibaiki

    LARUT: Berikutan hujan lebat turun tanpa henti dan aliran deras air sungai, sebuah titi penghubung yang menjadi kegunaan utama penduduk telah runtuh disebabkan oleh tebingnya terhakis.

    Advertisement

    Pegawai Pusat Khidmat Dun Selama, Khalid Hussin bergegas ke lokasi setelah mendapat aduan berkenaan bagi melihat kejadian tersebut di Sungai Setar, Selama, di sini baru-baru ini.

    Kesan daripada itu, keluarga dari tiga rumah kediaman dalam kampung tersebut kini terputus hubungan dengan pihak dan keluarga lain yang berdekatan lokasi berkenaan.

    “Inilah satu-satunya laluan utama mak cik untuk ke rumah ibu dan ipar di seberang sana,” ujar Romadiah Abd Rahman, 54 ketika ditemui di lokasi kejadian dengan nada sedih dan sebak.

    Menurut beliau, ibunya tinggal seorang diri di seberang sungai itu di mana telah menjadi kebiasaan Romadiah setiap malam pergi tidur menemani ibunya dengan melalui jalan titi berkenaan.

    Kini warga emas itu terpaksa berikhtiar melalui jalan lain yang sememangnya jauh jaraknya berbatu-batu dengan kudratnya tidak berapa kuat lagi untuk berjalan jauh.

    Ibu kepada 10 anak ini menunduk sayu mengenangkan nasibnya kerana terpaksa berulang melalui jalan darat yang begitu sunyi lebih-lebih lagi di waktu malam mencecah 500 meter jaraknya.

    “Titi ini dulunya dibina gotong-royong arwah suami, Almarhum Napiah Yasin sejak tujuh tahun yang lalu dengan sahabat-sahabatnya, guna keringatnya, guna duit simpanan KWSP sikit,” cerita Romadiah lagi.

    Pihak Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin telah membawa pengaduan kes berkenaan kepada pihak berwajib bagi membaiki kerosakan berkenaan.

    Aduan tersebut melalui Khalid telah dipanjangkan khususnya epada Penghulu Mukim Sungai Bayor, Sharol Farid Sobri dan pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS), Larut, Matang dan Selama.

    Sementara itu, Pengerusi MPKK, Ahmad Mat Dali turut hadir bersama memantau sendiri keadaan dan berjanji untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 10/11/2019