As-Sabiqat Pahang bersua muka semarak perjuangan

KUANTAN: Kelab As-Sabiqat Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah menganjurkan Himpunan As-Sabiqat Pahang 2019 yang dilangsungkan di Hotel Seri Malaysia, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis ini bertujuan mengumpul dan menemukan ahli-ahli berumur 55 tahun ke atas serta menjalinkan silaturahim sesama ahli PAS yang telah lama berada dalam jamaah dan berada di negeri ini.

Dengan membawa tema “Perjuangan Sepanjang Hayat, Inspirasi Ummah”, program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan pengiktirafan kepada para as-Sabiqun yang selama ini menggerakkan perjuangan dan menghargai komitmen istiqamah mereka walaupun tidak lagi berjawatan.

Majlis telah diisi dengan santapan rohani alunan zikir munajat pimpinan Ustazah Norhayati Ibrahim dan slot pengkisahan Muslimat yang dikendalikan oleh Ustazah Rosmaini Mustafa.

Slot ini menyelami pengalaman sejarah lalu dengan menampilkan penceritaan dari dua penggerak awal Muslimat PAS Pahang yang menjadi teladan iaitu Ustazah Khadijah Harun dan Siti Fatimah Saari.

Manakala sesi taujihat khas disampaikan Ketua Sidang As-Sabiqun Pahang, Ustaz Ismail Mohamad menyentuh peranan As-Sabiqat, Pemuda dan Ameerah bergabung tenaga untuk perjuangan.

Beliau turut memaklumkan mengenai As-Sabiqat sebagai Kelab NGO PAS yang sudah diluluskan dan bakal dilancarkan di peringkat negeri Pahang di Kerdau pada 19 Januari tahun hadapan.

Hadir sama adalah Ketua Kelab As-Sabiqat PAS Pahang, Hasnah Arshad serta isteri Adun Beserah, Nor Izni Wahab dan isteri Adun Panching, Rosmawati Bohari. – HARAKAHDAILY 11/11/2019