Kenang, hayati perjuangan Nabi Muhammad

PENDAHULUAN

Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah.

Angkatan ini diketuai oleh Gabenor Yaman, Abrahah yang berasal dari Habsyah. Beliau merencanakan usaha untuk menghancurkan Kaabah dan kemudian digagalkan oleh sekelompok burung yang dikenali sebagai Ababil.

Perkara itu dirakamkan Allah S.W.T di dalam al-Quran pada Surah Al-Fiil, ayat 1 hingga 5:

Advertisement



“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan-pasukan, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”



Melalui tafsir ayat ini, Allah S.W.T membuktikan bahawa Agama Islam ini akan sentiasa dipelihara meskipun hanya melalui sekumpulan burung untuk melawan lebih 60 ribu tentera bergajah yang ingin menyerang Baitullah.

Begitulah Allah memelihara keselamatan dan keberadaan Baginda sebagai insan terpilih. Ketika kelahiran Baginda Rasulullah, kelihatannya api sembahan kaum Majusi yang tidak pernah terpadam selama berkurun akhirnya terpadam dengan sekelip mata.

Sesungguhnya, ini adalah antara petanda untuk menandakan bahawa sesuatu keajaiban akan berlaku, secara tidak langsung memberi gambaran awal ‘something is coming, something is about to happen’.

Perjuangan dakwah Rasulullah 1: Siriyyah (rahsia)

Rasulullah memperjuangkan dakwah Islamiyyah secara rahsia selama tiga tahun pertama. Usaha dakwah ini terbatas kepada Sahabat-sahabat dekat dan kaum keluarganya sahaja. (Ibnu Ishaq dan Al Waqidi) Namun begitu, tidak semuanya percaya dan meyakini ajaran yang dibawa Rasulullah antaranya ialah Abu Thalib dan seorang dari bapa saudara Baginda, Abu Lahab menjadi seorang yang keras menentang perjuangan dakwah ini.

Dalam keadaan diperangi bangsa Arab ketika itu, terbit seorang wanita bernama Khadijah sebagai orang pertama yang menyambut ajaran dakwah tersebut dan lalu mengahwini Baginda Muhammad. Kemudian, menyusul sama ialah Ali bin Abi Thalib, sepupu Rasulullah yang ketika itu berumur 10 tahun. Turut sama memeluk Islam kemudiannya ialah Abu Bakar yang merupakan Sahabat karib Rasulullah ketika kecil lagi. Kemudian Zaid bin Harithah, Ummu Aiman yang merupakan pengasuh Rasulullah ketika kecil.

Dakwah ini kemudian disambung sama oleh para Sahabat setelah keIslaman mereka. Mengikut rentak dakwah sama ialah Abu Bakar sendiri yang berhasil mengIslamkan tokoh usahawan, Utsman bin Affan, Ahli Korporat ternama, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas dan Thalhah bin Ubaidillah. (Al Marhum Sheikh Muhammad Nashiruddin Al Albani)

Perjuangan dakwah Rasulullah 2: Terbuka

Penerangan dakwah Islam secara terbuka ini dimulakan Baginda Rasulullah kerana turunnya arahan Allah S.W.T di dalam Surah Al Hijr ayat 94 hingga 95 yang bermaksud:



“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang Musyrik. Sesungguhnya kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu).”



Lalu, perjuangan ini dimulakan dengan cara Nabi Muhammad Rasulullah mengumpul dan menjemput para Sahabat Baginda yang berbangsa Quraisy menghadiri jamuan. Pada ketika itu, Rasulullah S.A.W menyampaikan ajaran-Nya.

Tetapi hasilnya ketika itu hanya sedikit yang menerima ajaran tersebut. Sebahagian lagi menolak secara baik, sebahagian lagi menolak secara kasar dan amarah iaitu Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil. Kebencian mereka pada ajaran Nabi Muhammad begitu dalam dan sangat jelas!

Apabila Rasulullah mendapat tentangan dari pembesar Quraisy ketika itu, Baginda tidak mengalah malah  lebih berusaha dalam meneruskan agenda dakwah tersebut. Ketika menghadapi rintangan sebegitu, Nabi Muhammad yakin perlunya mengadakan perjumpaan bagi para pemeluk Islam untuk berkumpul sama.

Di dalam perjumpaan tersebut, Rasulullah menjelaskan kepada mereka tentang prinsip Islam, bacaan ayat Quran serta menerangkan maksud kandungannya serta menjelaskan hukum dan cara mempraktikkannya. Perjumpaan tersebut diadakan di rumah Abu Abdillah Al Arqam bin Abi Al Arqam yang kemudiannya digelar sebagai madrasah pertama sepanjang sejarah Islam.

Perjuangan dakwah Rasulullah 3: Istiqamah sehingga kewafatan

Perjuangan dakwah Islam tetap diteruskan meskipun sudah mencapai beribu tahun sejak kewafatan Rasulullah S A.W.  Baginda adalah insan mulia yang diiktiraf sebagai penghulu segala Nabi dan Rasul seterusnya membuktikan bahawa Baginda ialah rahmat kepada seluruh alam sehingga hari kiamat.

Hanya mereka yang berkorban sahaja yang layak melaungkan perkataan istiqamah sepertimana istiqamahnya Rasulullah dalam menyampaikan dakwah Islam meskipun diasak hebat oleh bapa saudaranya sendiri.

Pelbagai tohmahan dan cacian yang diterima insan mulia ini ketika diperintahkan Allah untuk menyampaikan Islam. Selain itu, mereka para Mukaffirin juga sangat suka dan senang hati melemparkan nama dan gelaran yang buruk kepada susuk tubuh Rasulullah agar dibenci orang ramai.

Perkara itu dirakamkan Allah S.W.T di dalam al-Quran pada Surah Sad, ayat 4:



“Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) berasa hairan bahawa mereka didatangi seorang Rasul pemberi amaran daripada kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.”



Namun begitu, jelas Rasulullah tidak pernah tunduk dan lelah dengan ujian tersebut. Kerana istiqamah itu, Islam datang dalam hati kita dan tersemat kemas sehingga ke hari ini, detik ini.

Kemuliaan yang ada pada diri Baginda Rasulullah tidak pernah ditenggelamkan walau hanya dengan satu fitnah dan umpatan. Semua ujian ini dihadapi dengan penuh sabar dan taat terhadap perintah Allah S.W.T.

Di akhir hidup Baginda, dakwah tetap subur berjalan meskipun pelbagai rintangan mendatang. Dakwah Islam berjalan baik seiring berjalan zaman, berakhirnya zaman Nubuwwah, Khulafa’ Ar Rasyidin, Daulah Islamiah dan kini Jemaah Islamiah.

Pelbagai modenisasi berlaku dalam kehidupan dan pembangunan suatu tamadun. Tidak ketinggalan juga Malaysia yang merupakan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) penyambung dakwah Rasulullah

PAS seringkali diasak dan dituduh sebagai parti pak lebai yang tidak mampu memimpin kesejahteraan Malaysia. Selain itu, musuh Islam juga turut mengatakan bahawa PAS menggunakan agama Islam sebagai sentimen untuk memancing undi Melayu.

Turut menempelak iaitu Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari yang mempersoalkan keberadaan PAS dalam situasi politik Malaysia. Dalam ucapannya pada tahun 2017, beliau menanyakan keras mengapa PAS tidak menjadi Tabligh atau Tarekat Sufisme sahaja.

Meskipun soalan tersebut telah kelihatan lama dan lapuk, di sini penulis ingin menjawab bahawa perjuangan PAS adalah seperti mana perjuangan Rasulullah.

Rasulullah tidak hanya duduk dalam kerangka Jemaah dan berdakwah di masjid dan surau sahaja. Baginda Rasulullah diperintahkan Allah supaya berdakwah kepada orang ramai termasuk para pembesar Quraish Makkah demi mengembangkan Islam.

Di sini juga penulis mengingatkan bahawa perjuangan dakwah Rasululah meliputi sehingga ke akar politik kepemimpinan Negara dan hasilnya ialah Rasulullah merupakan kepimpinan dunia pertama ketika itu yang berjaya menghasilkan Perlembagaan Madinah secara bertulis dan disepakati para Ansar dan Muhajirin.

Perjuangan dakwah Islam bukan sekadar bertanding kerusi pada pilihan raya. Tetapi termasuk segala strategi yang memungkinkan kemenangan secara menyeluruh untuk merealisasikan semak dan imbang berlaku dengan harmoni.

Tujuan PAS menapak dalam landasan politik Malaysia ialah untuk memastikan dakwah Rasulullah ini berjalan terus selari dengan kelestarian Islam yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Perjuangan PAS ialah untuk memastikan nilai Islam dijalankan secara menyeluruh dan meyakinkan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya dan dunia amnya bahawa Islam ini hadir untuk memimpin perpaduan.

Rasulullah hadir sebagai pemimpin Madinah sementelah berjaya memeterai perdamaian antara kaum Aus dan Khadzraj, membuka semula Kota Makkah dan lain-lain.

Perjuangan Rasulullah mengembangkan dakwah dilicinkan lagi oleh beberapa strategi dan cara agar tidak dijatuhkan oleh musuh Islam secara mudah.

Ketika hijrah Rasulullah, Kaum Musyrikin Makkah menantikan kematian Baginda dan berusaha menjayakannya dengan niat membunuh tanpa gagal. Mereka kaum Mukaffirin menyusun pelbagai strategi untuk menjatuhkan Rasulullah.

Strategi yang direncanakan mereka memaksa Rasulullah untuk bersembunyi di dalam gua, memaksakan Rasulullah untuk memggantikan Sahabat di tempat tidurnya sebagai muslihat.

Sehingga hari ini, fitnah dan tohmahan masih diberikan kepada Rasulullah. Di samping itu, PAS tidak akan pernah segan silu tetap memperjuangkan dakwah Baginda. Kerana matlamat PAS di dalam politik amat jelas, iaitu untuk membangunkan sebuah negara yang murni dengan nilai Islam, Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Demi merealisasikan ‘impian’ ini, pasti tidak mudah dan pelbagai ujian akan mendatang. Kerana ‘impian’ ini sangat istimewa dan tentu menuntunkan sebuah perjuangan yang jitu yang disambung rapat bergenerasi dan usaha keras.

Dari usaha ini, rakyat Malaysia khususnya akan mengerti betapa pentingnya hidup bersyariat bagi membina kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Bahkan telah terbukti bahawa keamanan Daulah pada zaman lepas adalah asal muasalnya daripada pegangan Islam mereka yang kukuh.

Oleh kerana itu, tidak selayaknya kita sebagai umat Islam untuk menidakkan perjuangan para Ulamak yang menyambung perjuangan Rasulullah ini. Mereka bekerja keras menanam akhlak yang baik kepada rakyat Malaysia. Kerana hanya dengan akhlak, pasti sesebuah negara akan bebas daripada krisis moral, ekonomi, politik, perpaduan, pembangunan dan sebagainya.

Yakinlah, sesungguhnya PAS satu-satunya parti politik Islam yang sentiasa menjaga dan memperjuang dakwah Rasulullah walau di mana zaman mendatang sekali pun. Kerana sesungguhnya, pimpinan PAS terdiri dari kalangan Ulamak yang siang malamnya mengajarkan hukum halal haram tanpa lelah dan penat.

Mereka sebagai ulamak sudah memula dan menjalankan kerja dakwah mereka. Lalu tanyakan pada diri kita, di manakah kita ketika mereka gering difitnah dan dicaci-maki oleh para musuh?

Tidakkkah kita merasa malu pada diri yang mengaku mencintai Rasulullah, namun tiada sekelumit pun usaha kita untuk berdakwah kepada rakyat Malaysia. Muhasabah. – HARAKAHDAILY 11/11/2019