Menang apabila perjuang Islam hingga akhir hayat

    TAMBUN: Kebenaran dan kemenangan perjuangan menegakkan agama Allah S.W.T tidak diukur dengan jumlah kuantiti pengikut, sebaliknya menegakkan agama melalui amal yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

    Advertisement

    Demikian pesanan dititip Pegawai Khas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Mior Isfandy Mior Azizan selaku naqib jemputan Liqa’ Fikri Pemuda PAS Negeri Perak di Maahad Darussalam, di sini kelmarin.

    “Ia boleh dilihat kepada pengikut para Nabi sendiri, ada yang memiliki sepuluh pengikut, ada hanya dua pengikut, malah ada tiada langsung pengikut. Tapi ia bukan ukuran kejayaan, sebaliknya usaha yang dibuat.

    “Oleh sebab itu, setiap daripada kita mesti faham dan memainkan peranan sebagai seorang Muslim untuk berjuang menegakkan Islam secara amal jamaie disamping amal ijtimaie,” ujar beliau membangkitkan motivasi.

    Beliau turut memetik ungkapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang betapa kemenangan dalam menegakkan Islam sebenarnya apabila pejuang mati ketika menjalankan gerak kerja.

    Pun begitu katanya, jihad melawan musuh nyata serta hawa nafsu dan syaitan pasti akan banyak berdepan cabaran atau ujian, namun mesti dilalui bersama rahmat Allah yang memayungi perjuangan Islam.

    “Saya amat yakin, jemaah PAS hari ini dijaga dan dipelihara Allah kerana ahlinya yang ikhlas berjuang menegakkan Islam tanpa mengira penat lelah,” tegasnya optimis.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menyeru seluruh jentera Pemuda agar istiqamah kerana mereka yang mengutamakan Islam akan menerima dan menghadirkan natijah baik.

    Hadir sama dalam program tarbiyah bulanan ini adalah Timbalan dan Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar serta para pimpinan lain. – HARAKAHDAILY 11/11/2019