PASTI Kampar sempurnakan anugerah graduan

KAMPAR: PASTI Kawasan Kampar telah menganjurkan Hari Anugerah Kecemerlangan yang telah dilangsungkan penuh meriah dan warna-warni di Grand Kampar Hotel, di sini semalam.

Advertisement

Majlis ini bertujuan untuk menghargai anak-anak PASTI Kawasan Kampar yang telah tamat permukiman ilmu mereka di PASTI dan bakal memasuki bangku persekolahan.

Majlis ini dihadiri oleh Pengarah PASTI Negeri Perak, Ustaz Mohd Azahari Yahaya dan Pengarah PASTI Kampar, Rafizan Abdul Rahim serta Ketua Pemuda PAS Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat.

Majlis ini telah menyempurnakan penyampaian sijil PASTI, selain diserikan d3ngan persembahan nasyid, deklamasi sajak oleh murid-murid PASTI melibatkan lima PASTI Cawangan dalam Kampar.

Ustaz Mohd Azahari dalam ucapan perasmiannya telah menekankan peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak bermula dengan akidah Islamiyah seperti yang diterapkan di PASTI.

Beliau menyebut bahawa ramai alumni PASTI yang telah menjadi doktor, jurutera, ahli politik dan paling penting adalah mereka meletakkan Islam paling hadapan dalam kerjaya mereka.

Beliau juga menyatakan rasa gembira apabila PASTI Fikratuzzikrah, Kampar mewakili PASTI Negeri Perak dalam Pertandingan 3K di peringkat kebangsaan.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Ammar Shahruddin dan Nur Dini Hanania Khairul Azwan masing-masing daripada PASTI Fikratuzzikrah dan PASTI Assalam telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar.

Mohd Shahrizan memaklumkan PASTI Kawasan Kampar akan menubuhkan unit baharu tahun hadapan, sekali gus memerlukan peruntukan untuk menguruskan pembangunan yang terletak di Bandar Baru Kampar.

Sebarang sumbangan untuk tujuan pembangunan itu boleh disalurkan ke akaun Maybank (5580 4260 4403) atas nama PASTI Kawasan Kampar.HARAKAHDAILY 11/11/2019