PASTI, SRITI bermatlamat lahirkan pembela agama

PADANG RENGAS: Penubuhan PASTI dan SRITI selaku institusi pendidikan yang diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS mempunyai matlamat jangka panjang ke arah melahirkan para pembela Islam.

Advertisement

Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar berkata, perkara tersebut dilaksanakan menerusi penerapan pendidikan yang memberi kefahaman sebenar terhadap agama Islam.

Jelas beliau, menerusi tarbiyah sedemikian bakal melahirkan pejuang yang berani dan bersedia mempertahankan agamanya yakni Islam atas dukungan kebenaran telah dipasak menerusi didikan tersebut.

“Islam bukan ‘agama masjid’ yang hanya disembah Tuhannya sekadar dalam masjid sebagaimana amalan kepercayaan lain. Islam juga bukan ‘agama waktu’ yang disembah Tuhannya dalam waktu tertentu.

“Tapi Islam agama kehidupan yang diturunkan Allah mengatur seluruh aspek dan sistem,” ujarnya merasmi Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI dan SRITI Kawasan Padang Rengas di Ponduk Al-Mansur, di sini semalam.

Beliau turut menyoroti kisah Imam Abu Hanifah berhujah menjawab persoalan Ahli Falsafah mengenai kewujudan, sifat dan takdir Allah yang memberi manfaat kepada dirinya dan orang lain.

Di mana dari kisah keupayaan Imam Abu Hanifah menggunakan dalil agama mematahkan logik akal Ahli Falsafah itu dijadikan sandaran oleh Ustaz Zahid terhadap usaha PASTI dan SRITI melahirkan pelajarnya.

Kerana jelasnya, Islam tetap memerlukan pembela di zaman ini di mana menyaksikan kewujudan pelbagai gerakan yang meracuni pemikiran umat Islam dengan pelbagai gerakan menyimpang.

Menurutnya, pelbagai gerakan tersebut membawa kepada menormalkan perbuatan dosa dan membawa manusia jauh dari jalan Allah S.W.T serta kehidupan yang tidak berdasarkan syariat Islam.

“Hanya orang berilmu akan perasan. Manakala yang tidak berilmu tidak akan perasan. Di sinilah (PASTI dan SRITI) kita nak memastikan anak-anak kita supaya berilmu, kenal dan mempertahankan Islam seumpama ditunjuk Imam Abu Hanifah,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 11/11/2019