Royalti: Dakwaan PH T’ganu tidak berasas, fitnah

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan proses pengagihan wang royalti negeri Terengganu dilakukan secara tidak adil kepada rakyat adalah satu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas.

Advertisement

Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid, ia merupakan satu fitnah dan dakwaan yang serius yang dilemparkan oleh parti politik Pakatan Harapan (PH) Terengganu terhadap kerajaan negeri tersebut.

Katanya, akaun kerajaan negeri adalah rahsia bahkan perbelanjaan dan cara penggunaannya melalui proses audit oleh agensi Kerajaan Pusat.

“Ini merupakan satu fitnah kerana akaun kerajaan negeri bukan sahaja akaun rahsia, bahkan perbelanjaan dan penggunaan kesemuanya melalui proses audit oleh agensi Kerajaan Pusat,” ujarnya.

Beliau berkata sedemikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2020 di bawah Jawatankuasa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Berikutan daripada itu, beliau meminta pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas itu untuk tampil menjelaskan dakwaan tersebut dan bukan menyebarkan fitnah semata-mata.

Terdahulu, PH Terengganu dalam kenyataannya meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan supaya bayaran wang royalti minyak negeri itu disalurkan menerusi agensi Kerajaan Persekutuan.

Menurut Raja Kamarul Bahrin Shah, pihaknya mengemukakan cadangan itu kerana terdapat rungutan Wang Tunai Petroleum (WTP) yang dibayar terus kepada kerajaan negeri tidak diagihkan secara adil kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, beberapa agensi Kerajaan Pusat akan dicadangkan untuk menguruskan wang royalti itu termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari nanti. – HARAKAHDAILY 11/11/2019