Street Dakwah agenda besar DACS Malaysia

JABATAN Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Malaysia terus mengorak langkah mendekati anak muda mengikut minat dan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang.

Advertisement

Malah apabila diamati, bidang sukan juga amat luas dan telah diterokai oleh DACS sejak awal penubuhannya serta turut memberi tumpuan meluas kepada sukan nombor satu negara, bola sepak.

Ini dapat dibuktikan oleh aktiviti yang dijenamakan sebagai Street Dakwah DACS di mana sering dianjurkan dan boleh dilihat hampir setiap kali perlawanan bola sepak negara di peringkat separuh akhir dan akhir.

Penulis ketika menemui Ketua Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri menyatakan bahawa, DACS Malaysia sentiasa optimis dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mendekati anak muda khususnya melalui sukan.

“Berbekalkan ilmu dan keupayaan yang ada, kami berkongsi cara berwuduk dengan air mineral botol atau cawan, mengimamkan solat fardu termasuk secara jamak dan qasar.

“Kami amat terharu dan teruja di atas sokongan yang semakin bertambah malah ditanya pelbagai soalan untuk pengetahuan lanjut mereka memberi semangat untuk kami terus menjayakannya.

“Sedar tak sedar sudah masuk tahun kelima secara rasminya program Street Dakwah DACS dilaksanakan dan kini bukan sahaja perlawanan bola sepak malah ikon DACS Malaysia turut dijemput hadir berkongsi ilmu berkenaan di himpunan tertentu anjuran pihak lain,” ujarnya.

Beliau turut berbangga dan memuji komitmen Lajnah Dakwah DPPM bersama Lajnah Dakwah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor yang sentiasa bersama mengendalikan program tersebut khususnya di Stadium Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DACS Malaysia, Muhammad Fadzli Abu Bakar memberi keyakinan bahawa kesedaran masyarakat khususnya peminat sukan terhadap kewajipan beribadat semakin tinggi.

“Cara kita ini mendekatkan mereka kepada mengamalkan Islam yang sebenar dan menyempurnakan tanggungjawab seorang Muslim serta mengeratkan semangat persaudaraan sesama kita.

“Kita juga terharu melihat ada dikalangan mereka datang bertemu untuk belajar pertama kali berwuduk,” cerita Fadzli berdasarkan pengalaman terbaru sewaktu menjalankan program bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia di antara JDT menentang Kedah baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, DACS Malaysia bersama DACS Selangor, DACS Perak, DACS Kedah, DACS Johor, DACS Pahang telah menjayakan beberapa siri Street Dakwah DACS pada tahun 2019 bersempena Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, kini pihak DACS Malaysia sedang melebarkan langkahnya dalam lapangan sukan permotoran berdasarkan beberapa siri pertemuan bersama pelumba MotoGP dan pasukan lumba motosikal baru-baru ini serta bekas jagoan negara.

Adalah menjadi harapan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin agar DACS Malaysia selepas ini turut mengadakan Street Dakwah DACS bersama peminat MotoGP, Hoki, Ragbi, Badminton dan banyak lagi di masa hadapan. – HARAKAHDAILY 11/11/2019