Apa tanaman alternatif hasil seperti sawit

    Advertisement

    KUALA LUMPUR: Kerajaan sebelum ini memperuntukan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nenas, kelapa, tembikai dan buluh kepada pekebun kecil dan petani sebagai usaha mempelbagaikan sumber pendapatan.

    Walau bagaimanapun timbul persoalan sama ada pelan kerajaan ini melibatkan pemberian latihan dan pengetahuan yang mencukupi kepada pekebun kecil dan petani mengenai jenis tanaman tersebut.

    Dalam perbahasan pertimbangan semula ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan 2020, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ujarnya, setiap peneroka kecil selama ini hanya mahir dengan penanaman sawit.

    Oleh itu, beliau menyatakan sejauh mana keyakinan kerajaan untuk memastikan tanaman alternatif dapat memberikan hasil yang sama seperti keluaran hasil sawit.

    Beliau turut berharap cadangan tersebut bukan sekadar cadangan tanpa persediaan rapi kerana jika dibuat tanpa perincian, perancangan ini berupaya mengundang pencemaran alam sekitar di samping menyumbang peningkatan hutang.

    “Kerajaan ada menguar-uarkan berkenaan dengan tanaman alternatif bagi menggantikan sawit jika industri tersebut terus-menerus berdepan dengan masalah ketidaktentuan harga yang juga kesan tekanan di pasaran antarabangsa.

    “Persoalannya, adakah tanaman lain mampu hasilkan kuantiti minyak yang sama dengan keluasan kawasan tanaman yang sama?” soal Shaharizukirnain.

    Selain itu beliau menyentuh peruntukan kerajaan bagi industri Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding peruntukan dalam Bajet 2019.

    Shaharizukirnain meminta perincian kerajaan sama ada peruntukan tersebut hanya ditumpukan kepada industri tembakau.

    Beliau turut meminta kerajaan memandang serius industri kayu kayan yang telah menyumbang kepada hasil eskport negara sejak dari Mei 2019 sebanyak RM9.1 bilion.

    “Industri kayu kayan berdepan dengan isu masalah kekurangan pekerja serta bakat yang semakin berkurangan.

    “Oleh kerana itu sejauh manakah usaha kerajaan memberi pendedahan berkenaan industri ini bagi menarik minat masyarakat terutama golongan belia.

    “Sekali gus menghapuskan sigma negatif masyarakat terhadap bidang ini dan berapakah peruntukan yang kerajaan sediakan bagi menghadapi masalah ini?” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2019