Benarkah wujud ‘titah istana’ gabung UMT-Unisza?

ISTILAH ‘titah’ selalunya sama ada datang secara langsung daripada ucapan Raja-raja yang didengari ramai dalam sesebuah majlis atau istiadat rasmi atau disampaikan secara rasmi melalui pengumuman/pemasyhuran oleh pegawai-pegawai istana seperti Datuk Pengelola atau Datuk Bentara. ‘Titah’ juga selalu dirujuk dalam hal penetapan tarikh puasa dan hari raya melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Advertisement

Misalnya, KDYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-63 Sultan Perak telah bertitah mengenai cabaran dan ancaman yang boleh meruntuhkan negara iaitu perselisihan kaum dan agama. ‘Titah’ baginda ini dilakukan dalam satu majlis rasmi. Oleh kerana itu, walaupun Perdana Menteri adalah yang paling banyak mengadap KDYMM SPB YDP Agong, beliau tidak pernah menjadi orangnya yang mengumumkan Titah Di-Raja.

Masalah yang ditimbulkan oleh seorang Menteri Kabinet adalah beliau mengumumkan di Facebook dan Twitternya apa yang disebut sebagai ‘Titah YDP Agong’ tanpa dapat dipastikan benarkah KDYMM SPB YDP Agong benar-benar bertitah sedemikian? Dalam satu hantaran Facebooknya yang bertarikh 7 November 2019, beliau telah mengatakan bahawa Tuanku telah bertitah agar Kerajaan meneruskan usaha baik penggabungan UMT dan Unisza. Namun begitu, tiada pengesahan daripada Istana Negara mengenai adakah Titah Baginda benar-benar berbunyi atau bermaksud demikian.

Yang lagi menimbulkan keraguan apabila di sebelah pagi ‘Titah’ di Facebook menteri berkenaan lain ayatnya. Di sebelah petang, iaitu apabila disoal oleh banyak pihak, ayatnya telah berubah menjadi lain pula. Adakah jika didesak lagi, menteri berkenaan akan menukar lagi hantaran Facebooknya dan apa yang dipanggil ‘Titah’ berkenaan akan diubah lagi ayatnya?

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
11 November 2019/ 14 Rabi’ulawal 1441 – HARAKAHDAILY 12/11/2019