Hari Anugerah PASTI Pasir Salak penuh gemilang

PASIR SALAK: Hari Anugerah PASTI Kawasan Pasir Salak telah dilangsungkan penuh kemeriahan dan kegembiraan dengan penglibatan 12 PASTI Cawangan yang diadakan di Dewan Besar Kolej FELCRA Changkat Lada, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis dirasmikan Bendahari Jabatan SMITI Malaysia, Rosli Suhaimi ini bertujuan meraikan 170 murid 6 Tahun yang telah menamatkan pengajian mereka di PASTI, selain menanamkan semangat jati diri sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Turut hadir adalah para pimpinan PAS Pasir Salak antaranta Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Zafarul Azhan Zan dan Ustaz Iqbal Mohd Zin serta Naib Ketua Muslimat, Ustazah Siti Mariam Hasan dan Pengerusi Majlis Guru PASTI, Mahani Abdullah Sani.

Persembahan daripada murid telah menyerikan aturcara antaranya alunan ayat suci al-Quran, deklamasi sajak, khutbah, pidato serta kalam jamaie yang merupakan antara acara dimenangi PASTI Pasir Salak di peringkat negeri, sekali gus ke pertandingan kebangsaan.

Majlis telah disempurnakan dengan penyampaian beberapa anugerah dan cenderamata termasuk menyaksikan PASTI Al-Ikhwan terus unggul meraih pencapaian utama yang telah disandang selama 3 tahun berturut-turut sejak 2017 lagi.

Sementara itu Pengarah PASTI Pasir Salak, Mohd Izwan Kemat berkata, walaupun para ibu bapa hari ini dibentangkan dengan pelbagai pilihan institusi pendidikan, namun PASTI tidak ketinggalan merebut hati mereka.

“PASTI berusaha melahirkan generasi unggul dari aspek rohani, sahsiah, ilmu dan amalan bertunjang Islam, iman dan ihsan. Serta mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa dan sosial dalam kepelbagaian bakat sedia terpupuk dalam diri anak-anak.

“Kita perlu mempersiapkan anak-anak hari ini menjadi warga yang cintakan agama, bangsa dan negara, serta berpegang teguh mengamalkan cara hidup Islam,” ujarnya yang turut menyeru para pendidik PASTI melengkapkan diri dengan sifat murabbi. – HARAKAHDAILY 12/11/2019