Lubnan: Tuntutan demokrasi atau ‘udang disebalik batu’

Advertisement

Minggu lalu, dunia dikejutkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri setelah berminggu rakyat Lubnan memprotes di jalan raya mendesak Perdana Menteri dan kerajaan Lubnan meletakkan jawatan serta mengadakan pilihanraya untuk memilih kerajaan baru. Protes yang telah berlangsung lebih sebulan menyaksikan ribuan rakyat Lubnan berkumpul di Beirut bagi membantah tindakan kerajaan mengenakan beberapa cukai baru yang dianggap membebankan rakyat yang telah terhimpit akibat kelembapan ekonomi.

Majoriti rakyat Lubnan yang memprotes adalah golongan muda dan bagi menyatakan rasa tidak puas hati akibat daripada kekurangan peluang pekerjaan yang menyaksikan kadar pengganguran keseluruhan diangka 25% dengan yang berumur di bawah 30 tahun adalah paling ramai. Di samping itu juga isu korupsi memainkan peranan besar kebangkitan rakyat Lubnan menentang kerajaan pimpinan Saad Hariri dan Presiden Lubnan Michel Aoun disamping kegawatan ekonomi yang hampir melanda Lubnan akibat daripada kelembapan ekonomi yang berpanjangan serta tidak mampu mendapatkan bantuan kewangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan serta memulihkan ekonomi Lubnan.

Perletakan jawatan Perdana Menteri Saad Hariri ternyata menyukarkan lagi kemulut politik Lubnan yang sememangnya parah. Hizbollah yang memihak kepada Saad Hariri, Michel Aoun dan kerajaan Lubnan mendesak pihak pembangkang dan rakyat agar menghentikan protes mahupun demontrasi agar Lubnan tidak terjerumus ke arah kegawatan ekonomi dan politik yang mampu melumpuhkan Lubnan namun usaha tersebut tidak mampu membendung protes yang semakin memuncak. Cadangan Presiden Lubnan Michel Aoun agar sebuah kerajaan campuran dibentuk untuk mengatasi masalah ini juga ditolak pembangkang dan rakyat kerana cadangan tersebut tetap melampirkan Saad Hariri sebagai peneraju kerajaan dan meletakkan majoriti kabinetnya dalam kerajaan campuran tersebut.

Namun di sebaliknya, ramai penganalisa berpendapat bahawa apa yang berlaku di Lubnan adalah perang proksi terbaru di antara pro Israel dan AS dan penentangnya Mihwar al-Muqawamah, secara spesifiknya di antara satu kelompok diterajui oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Israel dengan kelompok yang diterajui Iran dan Russia memandangkan Hizbollah yang menjadi tunjang kerajaan Lubnan mempunyai hubungan yang cukup erat dengan Iran yang menjadi musuh utama Amerika Syarikat, Israel dan Arab Saudi. Russia yang menjadi pendokong kuat Iran di Asia Barat pula dikhuatiri oleh Amerika Syarikat akan menguatkan pengaruhnya di Asia Barat jika tidak dibendung terutamanya setelah pengunduran tentera Amerika Syarikat di sempadan Turki – Syria serta peranan yang dimainkan Russia sekarang di Asia Barat berjaya menghakis pengaruh Amerika Syarikat di rantau tersebut.

Saad Hariri dan Arab Saudi.

Mungkin ramai yang masih ingat peristiwa penahanan putera – putera di raja Arab Saudi, tokoh – tokoh perniagaan dan politik Arab Saudi di Hotel Ritz Carlton, Riyadh, Arab Saudi berberapa tahun lalu. Peristiwa yang menggemparkan dunia itu dikatakan bertujuan untuk membenteras korupsi dikalangan elitis di Arab Saudi namun ramai yang melihatnya sebagai usaha Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad Bin Salman untuk menguatkan pengaruh dan kuasanya di kalangan keluarga diraja dan politik dalam negara. Namun semasa terjadinya perkara tersebut, telah berlaku satu lagi peristiwa membabitkan Saad Hariri, Perdana Menteri Lubnan ketika lawatannya ke Arab Saudi.

Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman dan Putera Mahkota Muhammad Bin Salman berusaha meluaskan pengaruh dan kekuasaan mereka di kalangan Dunia Islam terutamanya Asia Barat. Namun usaha mereka hanya mampu direalisasikan jika Iran berjaya dikekang serta dilumpuhkan kerajaannya yang mempunyai pengaruh luas di Asia Barat seperti di Syria dan Lubnan serta beberapa kumpulan berpengaruh seperti Hizbollah. Usaha Arab Saudi mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat dan Israel yang ternyata mempunyai kepentingan yang sama dengan Arab Saudi iaitu untuk menyekat serta melumpuhkan Iran. Bagi Amerika Syarikat, jika Iran berjaya dilumpuhkan mahupun dikekang pengaruhnya bermakna Russia berjaya ditolak daripada melebarkan pengaruhnya di Asia Barat serta Israel dijamin keselamatannya.

Setelah perang di Yemen dan Syria tidak membuahkan hasil seperti yang dijangkakan oleh Arab Saudi, Amerika Syarikat mahupun Israel dengan Iran dan Russia berjaya melebarkan serta menguatkan kekuasaan dan pengaruh mereka di Asia Barat, Lubnan dijadikan sasaran seterusnya untuk diangkat sebagai tapak baru perang proksi Asia Barat kerana Lubnan dibayangi oleh kekuasaan Hizbollah yang sebenarnya menjadi peneraju kerajaan Lubnan. Maka oleh itu ketika Saad Hariri melakukan lawatan ke Arab Saudi beberapa tahun lalu semasa berlakunya peristiwa penahanan putera – putera diraja Arab Saudi, beliau telah ditahan oleh Kerajaan Arab Saudi dan selang beberapa hari penahanan tersebut, beliau mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan ketika masih dalam tahanan kerajaan Arab Saudi.

Peristiwa tersebut menggemparkan dunia serta mendapat tentangan daripada Presiden Lubnan Michel Aoun, Hizbollah dan Iran. Mereka menggangap penahanan tersebut mencabuli urusan politik dan pentadbiran kerajaan Lubnan serta perletakan jawatan tersebut sebagai perbuatan terdesak Arab Saudi untuk mencatur politik Lubnan dan mengubah geopolitik Asia Barat secara tidak sah. Perancis dan Kesatuan Eropah yang mempunyai hubungan baik dengan Saad Hariri turut mengecam tindakan tersebut sehingga memaksa Presiden Perancis Emmanuel Macron campurtangan untuk membebaskan Saad Hariri. Akhirnya akibat desakan dan campurtangan Emmanuel Macron setelah beberapa minggu dalam tahanan kerajaan Arab Saudi, akhirnya Saad Hariri dibebaskan dan pulang ke Lubnan.

Ramai penganalisa politik Asia Barat berpendapat protes yang berlaku di Lubnan sekarang hingga hampir melumpuhkan kerajaan Lubnan seterusnya peletakan jawatan Saad Hariri sebagai Perdana Menteri baru – baru ini adalah dibayangi dan dicatur oleh Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Israel kerana ini adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku sebelumnya iaitu penahanan Saad Hariri di Arab Saudi yang tidak berjaya memenuhi agenda mereka. Mengapa Lubnan menjadi sasaran Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Israel ? Jika dilihat peta Asia Barat, Israel dikelilingi oleh Syria, Lubnan dan Mesir. Mesir sesudah Allahyarham Muhammad Morsi ditumbangkan dan diperintah oleh As – Sisi, Mesir sudah tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel. Syria yang porak peranda akibat perang sudah tidak lagi menjadi ancaman besar kepada Israel walaupun ada ketika Israel menyerang kedudukan tentera Syria dan pengkalan tentera Iran yang berada di Syria. Lubnan yang berada di bawah kekuasaan Hizbollah masih lagi menjadi ancaman kepada Israel.

Hizbollah yang mendapat sokongan Iran samada ketenteraan mahupun kewangan perlu dihapuskan untuk kelangsungan Israel seterusnya mengekang pengaruh Iran. Jika dilihat peta Asia Barat, jika Mesir, Syria dan Lubnan berjaya ditundukkan serta dibawah pengaruh Israel, maka negara – negara tersebut seperti menjadi tembok mahupun zon pemampan Israel jika diserang mahupun berperang dengan mana – mana negara Asia Barat. Itu agenda Israel, manakala Arab Saudi pula mahu mendominasi Dunia Islam terutamanya Asia Barat, yang menjadi penghalangnya ialah Iran.

Maka untuk menjadi dominan, Arab Saudi perlu menghalang dan menghapuskan Iran untuk merealisasikan agenda tersebut. Amerika Syarikat pula mahu menjaga keselamatan Israel, mengekang Iran, memonopoli sumber minyak dan gas di rantau tersebut serta menghalang Russia daripada meluaskan pengaruhnya ke Asia Barat. Maka ketiga – tiga negara tersebut dilihat sekarang memainkan peranan untuk menjayakan agenda bersama yang dilihat makin jelas hubungan mereka. Arab Saudi yang sekian lama memusuhi Israel dilihat sudah mampu berkerjasama di belakang tabir seterusnya berlakulah proses normalisasi beberapa negara Asia Barat dengan Israel dengan lawatan pemimpin Israel ke negara terbabit. Ada di kalangan rakyat Arab Saudi juga tidak segan silu memuji Israel malah melawat negara haram Israel.

Maka tidak hairanlah jika melihat proses normalisasi penerimaan hubungan dengan Israel oleh beberapa negara Asia Barat yang sebenarnya mempunyai agenda dan matlamat yang sama untuk kepentingan mereka. Namun proses normalisasi tersebut mencacatkan Dunia Islam yang menjadikan Palestin sebagai mangsa keadaan. Akibat daripada proses normalisasi tersebut, Palestin tidak lagi menjadi agenda utama Dunia Islam terutamanya Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang bersamanya. Palestin semakin ditindas dan hancur, normalisasi hubungan dengan Israel seolah – olah memberi lesen kepada Israel untuk menghancurkan Palestin. Dunia Islam harus berhenti melihat dan berpeluk tubuh kerana hanya kehancuran menanti untuk Dunia Islam jika ianya dibiarkan berlarutan.

Oleh itu, Dunia Islam harus sedar sekarang ke arah manakah yang perlu dituju untuk kepentingan bersama iaitu kepentingan ummah dan Dunia Islam. Dengan memihak kepada musuh Islam dan ummah tidak akan memberi manfaat dan keuntungan samada untuk jangka masa pendek mahupun panjang kerana sejarah membuktikan Dunia Islam akan hancur dan porak peranda jika berpihak kepada musuh Islam serta mengabaikan kepentingan Dunia Islam dan ummah. Sepatutnya Dunia Islam bersatu padu mengembalikan kegemilangan Dunia Islam dan ummah dengan memperkasakan kembali OIC yang perlu diangkat semula sebagai lambang perpaduan dan kekuatan Dunia Islam. Namun OIC dibiarkan lesu dan hanya akan digunakan jika kepentingan terancam serta mahu mendapatkan sokongan Dunia Islam atas sesuatu keadaan.

Liga Arab juga kelihatan lesu dalam memperjuangkan kepentingan Dunia Islam di rantau Asia Barat. Seharusnya dalam situasi sebegini, OIC dan Liga Arab harus proaktif mendamaikan pihak yang bertelagah dan mencari solusi perdamaian, Namun dekad ini, kegagalan OIC dan Liga Arab menjadi bukti kelemahan Dunia Islam di seluruh dunia. Sampai bilakah harus kita semua seluruh umat Islam memerhatikan keadaan sebegini ? Sudah masa dan ketikanya Dunia Islam harus kembali bersatu padu dan menghentikan permusuhan sesama sendiri, mencari perdamaian dan solusi untuk mengelakkan pertelagahan dan pertumpahan darah yang hanya merugikan Dunia Islam dan mengorbankan nyawa umat Islam yang tidak berdosa.

Dunia Islam pernah menjadi peneraju dunia serta pernah mengubah landskap geopolitik dunia namun akibat kelemahan Dunia Islam dan umatnya, Dunia Islam kembali ketinggalan dibelakang, memusuhi sesama sendiri malah menghancurkan serta memporak – perandakan Dunia Islam itu sendiri. Dunia Islam perlu mengubah haluan dengan mengutamakan kepentingan ummah dan Dunia Islam itu sendiri. Dengan mengambil Palestin sebagai ukuran kekuatan Dunia Islam, ternyata Dunia Islam berada dihujung nyawa. Palestin dibiarkan dizalimi dan dirampas tanahnya dan sampai bilakah harus begini ? Semoga Allah SWT memberikan pedoman, petunjuk dan hidayah buat Dunia Islam agar kembali gemilang, kuat dan bersatu padu. Moga Dunia Islam dan ummah dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok