Watak Pahlawan Melayu gegar Sukan PASTI

TELUK INTAN: Sukan Tahunan PASTI Kawasan Teluk Intan telah berlangsung meriah dengan PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely muncul johan keseluruhan pada temasya yang diadakan di Padang Perbandaran Teluk Intan, di sini kelmarin.

Advertisement

Kejohanan diceriakan dengan tema Pahlawan Melayu di mana PASTI Ibnu Rusyd mewakili Hang Kasturi berpakaian warna hijau, manakala PASTI Al-Falah Desa Aman dan PASTI Al-Khairiah Kampung Banjar tampil kuning sebagai Hang Tuah.

PASTI Nur Ehsan Taman Desa Bakti dan PASTI Al-Hidayah Taman Karantina pula serba merah sebagai Tun Fatimah, sementara PASTI Ibnu Sina Kampung Padang Tambak yang tampil warna coklat mewakili watak Hang Jebat.

Serta bersama menyemarakkan lagi temasya adalah PASTI Ibnu Khaldun Kampung Bahgia selaku Hang Lekiu dengan persalinan biru dan PASTI Nurul Iman Taman Melor membawa warna ungu selaku Hang Lekir.

Kejohanan telah dirasmikan Ketua Pemuda PAS Teluk Intan, Muhammad Firdaus Diyauddin yang turut menerima tabik hormat perbarisan kontinjen setiap pasukan diiringi Pengerusi Penyelaras, Mohd Najib Mohamed Noor.

Ikrar sukan turut dilafaz penuh semangat oleh wakil para peserta iaitu Muhamad Uwis Al-Qarni Mohd Fahmi dari PASTI Ibnu Sina yang berpakaian lengkap lagak Pahlawan Melayu sejati.

Penganjuran tahunan ini terus menjadi jambatan mempromosikan PASTI sebagai salah satu entiti pendidikan Islam di bawah teraju PAS. – HARAKAHDAILY 12/11/2019