Antara dua keldai

PERIHAL Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tercetus tamsil seolah-olah jenaka yang boleh menjadi renungan kepada semua.

Advertisement

Adapun pengundi Tanjung Piai itu majoritinya Melayu tetapi tidaklah besar sangat. Mengikut aliran politik pada masa itu, ia bukan kawasan sedap bagi BN baik calonnya Umno atau MCA. Andai semua ia memberi kelebihan puak PH.

Gabungan PAS dan Umno selepas termeterainya Piagam Muafakat Nasional peluang itu dirasakan lebih sedap jika calonnya Umno. Tetapi, justeru PRK itu tidak mengubah kerajaan, siapa menang pun kerajaan tetap PH.

Akan tetapi ia adalah medan menguji bukan Melayu bertahan dengan PH sekalipun tempoh dua tahun pemerintahannya menggetirkan rakyat dan negara dalam semua jurusan atau adakah bukan Melayu sudah serik mahu merujuk semula kepada BN yang sudah tidak lagi diperintah Dato’ Seri Najib.

Apapun orang Islam yang berpayung di bawah penyatuan ummah tetapi mengira PH baik Perdana Meneri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau kemudian diganti Anwar, adalah tunggangan DAP. Sekalipun kedua-duanya adalah Melayu paling pintar dalam masa 30 tahun ini tetapi ia dibayangi DAP.

Maka yang pro piagam menyeru pengundi Tanjung Piai jauhilah dari memilih PH kerana ia keldai DAP.

Lalu dibalas oleh pro PH yang ada sedikit sebanyak jiwa Islam apa bezanya menyokong BN yang jadi keldai MCA. Sekalian penyokong PAS yang membiarkan Umno menyerahkan calon di situ kepada MCA sudah menunggang di belakang keldai MCA.

Jika kedua-duanya keldai, tentu salah satu daripadanya keldai jinak dan satu lagi keldai liar. Tidaklah kedua-duanya jinak dan tidaklah kedua-duanya liar.

Pepatah Eropah masyhur menyeru semua pilihlah setan yang lebih baik. Manakala Islam pula mengajar, apabila bertemu dua mudarat, pilihlah yang kurang mudarat.

Dalam filem koboi biasanya koboi tidak menggunakan kuda liar. Biasanya kuda liar larinya tidak mengikut isyarat jokinya. Penungang kuda liar berisiko jatuh dari belakang kuda. Silap kira, penunggang akan ditendang kuda liar.

Kuda liar biasanya diserahkan kepada tukang jinakkan kuda.

Dunia sekarang tidak cukup masa untuk menjinakkan kuda liar. Semuanya memilih kuda yang sudah jinak.

Kuda jinak sama saja dengan keldai jinak. Semua beruntung dengan keldai jinak. Tetapi tidak siapa beruntung dengan keldai liar.

Pada situasi rakyat dalam dilema, pilihan terbaik ialah mencari yang baik dari yang tidak baik atau bahasa diplomasinya mencari yang terbaik dari yang baik. Malaysia mahu mengekalkan kehidupan masyarakat majmuk. Piagam menganjurkan kemajmukan yang ada hendak diharmonikan semula.

Dengan keldai liar yang harmoni pun jadi punah binasa. Yang mengingatkan hubaya-hubaya keldai liar. Dibimbangi jadi kera membaiki labu.

Pada semua yang ditakui satu keldai saja iaitu keldai liar. Kita tidak wajar menyamakan manusia dengan keldai. Tetapi sekadar mengingat tungganglah keldai jinak. Tetapi jika ada yang mahu menyamakan manusia dengan keldai dan mengira keldai itu liar belaka. Maka semuanya malang bagi kita.

Malang kadang-kadang boleh dielak. Tetapi kita tidak jadi seperti Lebai Malang. – HARAKAHDAILY 13/11/2019