Kanak-kanak PASTI teruja sertai Karnival Semarak Tani

TELUK INTAN:  Seramai 30 murid PASTI Al-Khairiah Kampung Banjar teruja apabila mereka dijemput bersama menjayakan Karnival Semarak Tani Kebangsaan di Kolej Vokasional Pertanian, di sini semalam.

Advertisement

Mereka adalah di antara beberapa pra-sekolah yang dijemput menyertai peraduan mewarna sempena karnival diadakan dari 11 hingga 12 November itu.

Berbekal ilmu dan kemahiran yang diasuh oleh guru-guru, mereka telah bersaing dengan ratusan kanak-kanak pra-sekolah terdapat di Bandar Teluk Intan ini.

Menurut Pengerusi PASTI Al-Khairiah, Mohd Najid Mohamad Noor seorang peserta PASTI ini, Nurin Syaurah Nafisah Mohamad Safuan telah berjaya memenangi hadiah antara 10 peserta terbaik.

Katanya, kanak-kanak PASTI juga amat seronok dan teruja kerana pihak penganjur telah menyediakan sebuah bas sewa khas membawa mereka pergi dan balik.

Beliau merakam penghargaan terima kasih kepada Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan yang baik hati menyediakan kemudahan pengangkutan.

Sempena karnival itu pelbagai acara menarik diadakan seperti Bicara Tani, Booth Jualan Industri AsasTani, Inovasi Produk, Pameran Bas agensi kerajaan, memancing ikan air tawar, gubahan kreatif kain batik dan menghias bento sandwich. – HARAKAHDAILY 13/11/2019