Kawalan minum arak perlu lebih ketat

ISLAM mengharamkan arak dan segala yang berkaitan dengannya kerana ia merupakan punca kepada keruntuhan masyarakat. Justeru, ia bukan sekadar dosa besar tetapi peminum arak dikenakan hukuman hudud dan ia salah satu dari 10 golongan yang mendapat laknat daripada Allah.

Advertisement

Penjelasan bahawa Kerajaan Negeri Selangor [1] tiada larangan individu meminum arak secara terbuka di tempat awam kerana selaras dengan Undang-undang Kecil Taman (2005) adalah penjelasan yang terlalu longgar dan membuka ruang pintu kerosakan yang besar.

Walaupun ada peruntukan tindakan boleh diambil jika wujudnya perkara tidak diingini dan aduan kekecohan namun ia bukan bersifat mencegah kerana implikasi buruk kesan minum arak telah pun ’meletus’.

Malah jika sekadar pemasangan papan tanda tanpa ada satu dasar larangan yang jelas diwartakan, maka ia tidak begitu serius dan tegas. Inilah fokus utamanya kerana peruntukan sedia ada masih longgar maka mesti diambil tindakan kawalan yang lebih ketat.

Peruntukan ini tidak nampak ketegasan dalam menangani keburukan-keburukan yang lahir dari arak sedangkan pelbagai insiden buruk telah terjadi seperti kemalangan kerana pemanduan dalam keadaan mabuk [2]. Begitu juga kesan dari mabuk ialah kelakuan tidak senonoh seperti tanpa sedar dalam keadaan telanjang di khalayak ramai [3].

Jika dibandingkan, penguatkuasaan larangan merokok lebih ketat dari arak walhal arak disifatkan ibu segala perkara keji (أم الخبائث), pembuka kepada segala kejahatan dan terdapat ancaman laknat ke atasnya. Di sinilah memperlihatkan ketidakwajaran untuk dibiarkan ‘kelonggaran’ pada dasar minum arak secara terbuka di tempat awam tanpa ada satu undang-undang atau dasar khas yang melarang sebagai pencegahan.

Rasulullah SAW bersabda:

اجتنِبوا الخمر؛ فإنَّها أمُّ الخبائث

Maksudnya: Jauhilah arak maka sesungguhnya ia kunci pembuka segala kejahatan. (al-Nasaie)

Di samping itu, penegasan terhadap aktiviti arak tidak hanya sekadar minum secara terbuka sahaja malah pada apa jua yang boleh melibatkan promosi dan komersial arak juga mesti dikawal ketat sebagaimana antara kawalan minuman keras yang dikuatkuasakan di negara Ireland iaitu dilarang membawa minuman keras dalam bekas atau beg lutsinar [4].

Justeru, Dewan Ulamak PAS Selangor mencadangkan kepada kerajaan negeri agar lebih bertegas dalam mengawal arak menerusi tiga aspek:

i) Pendidikan: Memperluaskan promosi kesedaran akan keburukan besar dari arak.
ii) Penguatkuasaan: Mengenakan tindakan bersifat undang-undang bagi mengelak dari ia diminum secara terbuka.
iii) Pencegahan dan menutupi ruang: Menghentikan promosi pengiklanan dan juga tajaan yang melibatkan dari mana-mana entiti yang terlibat langsung dengan aktiviti arak.

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor – HARAKAHDAILY 13/11/2019

[1] https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/11/627101/tiada-larangan-minum-arak-di-tempat-awam-exco?fbclid=IwAR0pUNnFTZ4aj0Ij1FoFdINCCVTOLUC7vJuVZyodHi29rL8QV2M6nEb4pQk
[2] https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/node/466011/amp
[3] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/626984/mabuk-sampai-tak-sedar-berbogel-di-jalan
[4] https://www.citizensinformation.ie/en/justice/criminal_law/criminal_offences/alcohol_and_the_law.html