Orang kafir tidak termasuk dalam asnaf zakat

JANGAN kelirukan masyarakat, antara istilah kafir dan mualaf dalam isu zakat.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 60 yang bermaksud:

Advertisement



“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(At-Taubah: 60)



Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimah ‘innama’ yang memberi makna pembatasan orang yang layak menerima zakat hanya pada lapan golongan (asnaf) tersebut sahaja. Jadi tidak ada asnaf kafir dalam ayat tersebut.

Membaca pandangan daripada DSAI mengenai harus beri zakat kepada orang kafir, menunjukkan beliau keliru antara kafir dengan mualaf.

Mualaf adalah sebutan bagi non-Muslim yang mempunyai harapan masuk agama Islam atau orang yang baru masuk Islam.

Asal dari perkataan ullifa iaitu sesuatu yang dilembutkan, ditujukan kepada orang yang belum Islam tetapi hatinya tertarik dengan Islam.

Maka golongan ini boleh menerima zakat, tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi boleh dalam bentuk pemberian buku-buku yang berkaitan Islam agar lebih mendorong untuk dia masuk Islam.

Cuma sahaja tempoh masa bagi mualaf itu berbeza mengikut negeri kerana ada yang telah Islam tapi perlu diberi bimbingan dan bantuan. Golongan ini juga masih dikira mualaf yang layak menerima zakat.

Menggunakan kalimah mualaf adalah lebih tepat berbanding kalimah kafir. Pertama adalah kerana kalimah mualaf yang dinyatakan dalam ayat al-Quran bukannya kalimah kafir.

Kedua, adalah kerana pembahagian kafir di dalam Islam terbahagi kepada kafir Zimmi dan kafir Harbi.

Apa sekalipun, zakat yang diberikan kepada golongan mualaf adalah atas dasar dakwah, dan bukannya atas dasar rahmah, sepertimana pandangan DSAI yang menyatakan pemberian zakat kepada orang kafir sebagai tanda rahmah kepada mereka.

Justeru jangan kelirukan masyarakat antara istilah kafir dan mualaf dalam isu zakat. Apa yang lebih membimbangkan kita, beliau menggunakan istilah kafir itu tidak lain hanya untuk mendapatkan sokongan politik daripada orang-orang kafir.

Ini kerana desakan daripada pemimpin bukan Islam yang meminta agar zakat juga diagihkan kepada bukan Islam telah kita dengar dalam tempoh setahun dua ini.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, desakan ini disambut oleh DSAI yang memberikan pandangannya bahawa orang kafir juga harus diberi zakat. Walaupun sekadar pandangan peribadi beliau, tetapi ianya dilihat seperti tunduk kepada desakan orang kafir.

Dan juga siapa DSAI untuk memberi pandangan mengenai isu zakat? Serahkan sahaja kepada pihak yang layak dan berautoriti.

Terdetik di benak fikir, golongan kafir yang sangat keras dengan Islam, fobia Islam, sehingga kaitkan isu tulisan Jawi dengan Islamisasi, boleh pula tiba-tiba meminta duit zakat untuk orang kafir.

Jenis muka tak malu. – HARAKAHDAILY 13/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.