Siapa terlibat JK Khas Kajian Hukum Gantian

    KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Hukum Gantian terhadap hukuman mati mandatori yang bertujuan untuk mengkaji secara keseluruhan hukuman tersebut kepada hukuman yang lebih wajar.

    Advertisement

    Susulan daripada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan bangkit meminta kerajaan untuk menyatakan senarai ahli jawatankuasa yang akan terlibat.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan penglibatan para agamawan seperti mufti serta pihak jabatan agama dalam jawatankuasa tersebut.

    Beliau membangkitkan perkara tersebut semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata bahawa jawatankuasa khas tersebut akan dianggotai oleh pakar perundangan seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas peguam kanan Mahkamah Persekutuan, pengamal dan pensyarah undang-undang universiti awam.

    Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Dato’ Sri Panglima Richard Malanjum.

    Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak melibatkan para agamawan secara langsung namun tidak mengenepikan pandangan daripada pelbagai pihak kerana ia merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan penggubalan undang-undangan itu bersifat inklusif, holistik dan infektif.

    Kerajaan akan membentangkan Jawatankuasa Khas tersebut di parlimen pada bulan Mac tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 13/11/2019