Junjung titah Sultan, segerakan 5 projek utama Kelantan

    KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menggesa supaya lima projek utama diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali agar dilaksanakan dengan segera di negeri itu.

    Advertisement

    Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan berpandangan, gesaan tersebut berkemungkinan daripada persoalan yang timbul kerana tiada peruntukan tersebut dimasukkan dalam Belanjawan 2020 telah dibentangkan baru-baru ini.

    “Persoalannya sekarang, bagaimanakah janji Menteri dapat dilaksanakan tanpa peruntukan belanjawan sebanyak RM 1.4 bilion? Kami menggesa penjelasan diberikan oleh YB Menteri bagi meredakan kegusaran seluruh anak Kelantan. Jangan menganak-tirikan rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sehubungan itu, beliau turut meminta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan penjelasan terperinci mengenai Projek Kajian Kemungkinan yang memasukkan Ekonomi Biru sebagai satu cabang baharu di bawah kajian kementerian beliau pada tahun hadapan.

    Menurut beliau, menurut Bank Dunia, Ekonomi Biru merangkumi pelbagai aktiviti seperti industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan, dan perubahan iklim.

    Justeru jelasnya, Ekonomi Biru bermaksud penggunaan sumber laut secara mapan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan, di samping menjaga kemakmuran dah kesihatan ekosistem laut.

    “Persoalannya sekarang, adakah Ekonomi Biru merangkumi persempadanan maritim untuk negeri-negeri di Malaysia, khususnya negeri pengeluar minyak dan gas?

    “Sumber minyak dan gas di perairan negara merupakan sumber kewangan yang besar kepada kerajaan pada hari ini. Diharapkan Ekonomi Biru bukanlah satu alat untuk menidakkan tuntutan royalti dari negeri Kelantan yang kian diperkotak-katikkan,” ujarnya.

    Berikutan daripada itu, beliau mengharapkan Projek Kajian Kemungkinan ini dapat menyediakan input berguna dalam merancang pembangunan sosioekonomi negara dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2021-2025.

    Namun katanya, tanpa menganaktirikan kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah pembangkang, terutama Kelantan dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 14/11/2019