Mengemping padi dan berkubang: Pesta warisan Pahang

PESTA Mengemping Padi adalah di antara salah satu daripada tarikan pelancongan di Negeri Pahang. Keunikan penggunaan elemen tradisi dan kaedah lesung kayu dalam proses pembuatannya menyebabkan ia terus dikekalkan dalam Kalendar Tahun Melawat Pahang.

Advertisement

Program Moh Mengemping Dan Berkubang 2019 anjuran Pejabat Penghulu Mukim Pahang Tua dengan kerjasama Tourism Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan telah diadakan di Padang Awam Kampung Pahang Tua, Pekan.

Program tahunan yang telah masuk musim keempat penganjurannya ini begitu meriah dengan penglibatan daripada penduduk kampung, beberapa agensi dan jabatan kerajaan serta pelancong dari luar negara seperti Perancis, Jerman dan Australia.

Banyak acara dan permainan rakyat yang dipertandingkan. Ini sekaligus memperkenalkan kembali identiti dan mempertahankan tradisi warisan masyarakat di Negeri Pahang.

Di antara acara dan sukan tradisi tersebut ialah pertandingan mengemping, memancing, larian paya, bola tampar paya, pukul bantal, perdap itik dan menggagau ikan.

Kebiasaannya pesta mengemping dibuat waktu musim menuai. Emping terhasil daripada padi muda yang belum matang setelah melalui beberapa proses pembuatannya.

Padi yang telah dituai, terlebih dahulu ditampi bagi mengasingkan padi dengan hampa. Seterusnya ia perlu direndam. Kemudian digoreng seketika. Sesudah itu diletakkannya ke dalam lesung kayu dan ditumbuk dengan menggunakan kayu yang dipanggil antan.

Kaedah menumbuk hendaklah dilakukan dengan berhati-hati. Kebiasaannya dua atau tiga individu diperlukan untuk proses ini. Peraturan dan kesefahaman juga perlu diambil kira bagi melancarkan proses ini.

Proses menumbuk berakhir apabila padi goreng tersebut menjadi leper dan kulit terpisah daripada isi.

Emping yang masih bercampur kulit kemudiannya diletakkan ke dalam nyiru bagi menjalani proses menampi untuk membuang kulit tersebut.

Akhirnya,emping boleh dihidangkan. Ia enak dinikmati bersama kelapa muda yang diparut dan gula atau gula merah. Walau apapun jenisnya iaitu kerabu emping, serawa emping dan emping raja, ianya kudapan yang pasti menyelerakan. – HARAKAHDAILY 14/11/2019