Pestabola Merdeka menyatukan Malaysia

PESTABOLA Merdeka adalah di antara kejohanan bola sepak melibatkan pasukan kebangsaan yang tertua di Asia. Kuasa-kuasa bola sepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Arab seperti Kuwait dan Iraq kerap menyertai kejohanan tersebut. Pasukan-pasukan dari Benua Afrika seperti Ghana dan Maghribi juga pernah menyertai.

Advertisement

Pestabola ini juga menjadi pencetus kepada kejohanan-kejohanan bola sepak lain di Asia. Di antaranya adalah Piala Raja Thai di Negara Thai, Piala Presiden di Korea Selatan, Piala Kemerdekaan di Indonesia dan Piala Kirin di Jepun. Tetapi zaman kegemilangan pestabola tersebut dan bola sepak Malaysia telah lama berlalu.

Kali terakhir Pestabola Merdeka diadakan adalah 6 tahun lepas di mana pasukan bawah 23 tahun Malaysia muncul juara dalam tahun 2013. Sejak kejohanan pertama, kejohanan ini juga telah gagal dianjurkan sebanyak 20 kali. Begitulah nasib pertandingan yang di satu masa dulu paling berprestij.

Alasan terlampau banyak perlawanan yang terpaksa dilalui oleh pasukan kebangsaan tidak boleh diterima. Untuk tahun 2019 pasukan kebangsaan telah bermain dalam 4 perlawanan persahabatan iaitu menentang Nepal, Jordan, Sri Lanka dan Tajikistan.

Dato’ Iskandar Abdul Samad

Perlawanan-perlawanan tersebut boleh dirangkumkan untuk menjadikan satu kejohanan. Ianya lebih mencabar dari perlawanan persahabatan yang tidak membawa apa-apa makna.

Pasukan kebangsaan juga telah menentang Singapura dan Afghanistan dalam Piala Airmarine pada bulan Mac. Persoalannya kenapa piala tersebut boleh dianjurkan tetapi Pestabola Merdeka tidak boleh? Adakah kemampuan sebuah syarikat swasta yang menaja pertandingan ini melebihi kemampuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?

Mungkin juga ada yang mendakwa pada zaman dunia tanpa sempadan hari ini Pestabola Merdeka tidak lagi relevan kerana peminat bola sepak boleh menyaksikan perlawanan dari seluruh dunia secara langsung. Berbeza di masa lampau di mana hanya perlawanan-perlawanan tertentu seperti perlawanan akhir Piala Dunia atau Piala FA Inggeris yang di bawa secara langsung.

Ketika itu peminat terpaksa ke stadium untuk menyaksikan perlawanan atau menunggu sehingga kelab-kelab membuat lawatan untuk menyaksikan pasukan dari Eropah atau Amerika Selatan beraksi.

Alasan ini juga tidak boleh diterima kerana terdapat pertandingan-pertandingan yang wujud selepas Pestabola Merdeka tetapi masih dianjurkan secara tetap. Contohnya kejohanan Piala Raja Thai yang telah diwujudkan dalam 1968. Kecuali untuk 5 tahun, pertandingan ini telah berlangsung setiap tahun hingga ke hari ini. Pada kejohanan 2019, pasukan dari Amerika Tengah, Curacao telah mengalahkan Vietnam pada perlawanan akhir.

Oleh itu amat menyedihkan Malaysia yang menjadi pelopor kejohanan bola sepak antarabangsa di Asia gagal meneruskan pestabola yang di suatu masa dahulu amat dihormati. Walhal Thailand yang muncul lewat dilihat telah dapat mengatasi Malaysia.

Saya yakin Pestabola Merdeka masih dapat menarik minat penyokong Harimau Malaya. Ia merupakan satu peluang bagi rakyat untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. Dalam suasana politik yang begitu tegang, ia merupakan pentas penting untuk menyatukan kita semua walaupun buat

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/11/2019