Tabungan syiling pelajar untuk bekas sekolahnya

    INDERA MAHKOTA: Sumbangan wang syiling dari tabungan oleh bekas pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad Balok, Farhan Danish Fadeli, 13 tahun menjadi kejutan yang menyentuh hati warga institusi ini.

    Advertisement

    Farhan hadir menyerahkan sendiri tabung berisi syiling tersebut dari simpanan dibuatnya sejak awal tahun ini kepada Pengetua Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad Balok, Ustaz Mohd Basri Ariffin, di sini kelmarin.

    Sumbangan tersebut sebagai menampung kos pembinaan bangunan baru sekolah melibatkan bangunan 4 tingkat yang kini telah 85 peratus siap dibina dan dijangka digunakan pada Januari 2020 nanti.

    Usaha murni Farhan itu amat dihargai warga pendidik Akademi Pendidikan Al-Irsyad Balok yang berharap pelajar tersebut menjadi teladan ikutan kepada masyarakat dalam mendukung usaha seumpama.

    Malah, Ustaz Basri menyifatkan tindakan pelajar tersebut mencerminkan penghayatan keperibadian yang tinggi apatah lagi sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

    Premis tersebut bakal menempatkan kantin sekolah, surau, dan 14 kelas yang akan memuatkan 560 pelajar di mana semua pihak dialu-alukan untuk menyumbang dengan sejumlah RM1.2 juta masih diperlukan. – HARAKAHDAILY 14/11/2019