Gaza dan Plan Deal Of The Century

ISLAMIC Jihad Movement in Palestine

(1)     Beberapa hari lepas kita saksikan bagaimana tercetusnya serangan-serangan di Gaza. Pertembungan kali ini dengan kumpulan Jihad Islami yang rapat dengan Iran.

Nama panjangnya ialah Islamic Jihad Movement in Palestine (حركة الجهاد الإسلامي في فلسطين‎) yang ditubuhkan pada 1981 sezaman dengan penubuhan HAMAS. Mempunyai matlamat yang sama, iaitu menentang Zionism.

(2)     Pergerakan ini lebih sinonim dengan Gaza sejak dahulu lagi. Apatah lagi pada hari ini bumi Gaza sedang menjadi tumpuan untuk melaksanakan agenda DOTC.

Iaitu Deal Of The Century (صفقة القرن) yang digagaskan oleh Amerika Donald Trump. Matlamatnya ialah untuk memberi penguasaan Israel sepenuhnya terhadap Palestin.

Atau dengan kata lain, ke arah membina Israel Raya. Gaza menjadi sasaran utama untuk Amerika atau Israel ‘menghalau’ penduduk negeri itu ke Sinai yang dikuasai Mesir.

(3)     Kalau di Utara Palestin, Amerika Israel menghalau penduduk di sana ke Lubnan, dan Syria. Pelbagai cara dilakukan, antaranya menimbulkan konflik sempadan Syria dan banyak lagi.

Walaupun kita tahu bahawa DOTC adalah projek membina empayar Israel Raya, Trump memberi alasan lapik dengan mengatakan ia adalah bertujuan menyelesaikan isu konflik Palestin-Israel.

Walhal, Amerika yang merupakan bapak penyangak itu tak wajar dipercayai. Apatah lagi beberapa bulan lepas HAMAS ada melaungkan penentangan terhadap projek menghalau penduduk Gaza ke Sinai.

Palestin dibiarkan dengan agenda normalisasi

(1)     Berdasarkan suasana geo politik hari ini yang semakin rencam, saya menjangka bahawa Iran merancang sesuatu untuk menyekat rancangan Amerika.

Sebab itulah Amerika merancang untuk mewujudkan negara yang berkonsepkan mazhab sepertimana yang dibentangkan dalam New Middle East lakaran Robin Wright 2013.

(2)     Apabila kita melihat serangan kumpulan Jihad Islami baru-baru ini, kita seolah-olah tercari-cari mana perginya negara-negara Umat Islam yang lain? Semuanya sedang lena di atas katil normalisasi.

a-     Mesir, Jordan dan Turki hakikatnya mempunyai jalinan hubungan diplomatik  yang ‘normal’ dengan Israel. Walaupun adakalanya hubungan ini kadangkala berombak, namun masih kekal hingga ke hari ini.

b-     Oktober 2018 menyaksikan lawatan Netanyahu atas jemputan Oman sendiri. Walaupun tiada persepakatan untuk adakan hubungan diplomatik, namun kita boleh faham bahawa ia sebagai satu isyarat normalisasi.

c-     Pada Februari 2019, Persidangan Asia Barat yang diadakan di Poland, Netanyahu menyatakan hasrat sekiranya Negara-negara Arab yang lain mengikut jejak langkah Oman.

d-     Pada Mac 2019 Menteri Luar UAE menggalakkan supaya Negara-negara Arab lebih terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan Israel. Antara yang lain, Qatar juga masih mengekalkan hubungan dengan Israel yang terjalin sejak 1996.

e-     Januari 2019, Chad menyambung semula hubungan dengan Israel yang telah diputuskan sejak 1972.

Baru-baru ini kemenangan Netanyahu dalam pilihan raya merupakan petanda pergerakan yang lebih agresif. Beliau memang dikenali dengan tindakan sedemikian.

Ini membuatkan Negara-negara Arab khususnya cuba mengadakan hubungan diplomatik demi keselamatan yang saya ceritakan di awal tadi.

Trump melanggar Undang undang Antarabangsa

(1)     Apabila kita meneliti rentak pergerakan Donald Trump, kita akan dapati bahawa beliau tidak begitu ‘terkial-kial’ untuk terikat dengan undang antarabangsa.

Contohnya beliau dengan ‘selambanya’ mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang diduduki pada tahun 1967, sedangkan ia berada dalam wilayah Syria.

Walaupun lokasi itu tidak berkaitan langsung dengan wilayah Palestin, namun pengisytiharan itu menandakan bahawa Trump ‘selamba’ melanggar prinsip Undang-undang Antarabangsa.

Undang-undang Antarabangsa mengharamkan sebarang rampasan wilayah dengan kekerasan. Seolah-olah Israel ada hak untuk menjadikan lampu itu hijau.

(2)     Antara lain Trump telah mempersoalkan persetujuan antarabangsa mengenai isu status akhir seperti yang dinyatakan dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 Disember 2016.

Trump sendiri menyifatkan bahawa dia ‘mengambil Jerusalem dari meja’. Beliau perhatikan bahawa pengiktirafan terhadap Jerusalem sebagai satu modal.

Iaitu modal untuk mengatakan Israel tidak melanggar sebarang perjanjian yang dirundingkan di sempadan antara Israel dan Palestin.

Hakikatnya Amerika bukan sekadar melanggar perjanjian tersebut, bahkan menafikan kedaulatan rakyat Palestin di kawasan tengah Jerusalem Timur.

Saraf ‘Israel Hayom’ dan agenda DOTC

(1)     Pada 25 Ogos 2019, Media Open Democracy menyiarkan artikel yang bertajuk ‘The Deal Of The Century Is Already On The Ground Before Being On Paper’ tulisan Yara Zarir.

Antara yang dinyatakan ialah pada awal Mei tahun ini, butiran Deal Of The Century kononnya telah dibocorkan oleh Akhbar Israel Hayom.

Israel Hayom mendakwa bahawa perjanjian itu melibatkan tiga pihak:

a-     Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)

b-     Hamas yang mengawal Jalur Gaza

c-     Israel

Hakikatnya ia cuma tuduhan meleset untuk menimbulkan perspektif salah terhadap perjuangan Palestin. Bahkan persepakatan yang dikatakan itu tidak muncul dalam mana-mana pentas media.

(2)     Beliau juga turut menyatakan bahawa DOTC seolah-olah melakar Palestin Baru, yang melibatkan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

a-     Manakala sebahagian Sinai akan dipajak dari Mesir untuk kepentingan Palestin Baru di mana lapangan terbang dan zon perindustrian akan diwujudkan.

b-     Di samping itu, koridor darat akan dibina di antara Gaza dan Tebing Barat untuk menghubungkan kedua-dua wilayah itu.

c-     Pada masa yang sama, Tebing Barat akan dihubungkan dengan Jordan melalui Lembah Jordan dengan dua lintasan.

d-     Lembah Jordan sendiri masih berada di bawah kawalan Israel, dan akan ‘dilampirkan’ sekali dengan negara haram Israel

Realitinya, apa yang dicadangkan ini, adalah pembersihan penduduk Palestin dari wilayah Gaza, dan memberikan lebih kuasa kepada Israel untuk kawalan ke atas Tebing Barat.

Di saat Palestin berhadapan dengan Israel-Amerika ini, Negara-negara Arab di sekeliling masih sibuk dengan projek normalisasi. Menyebabkan Palestin semakin keseorangan di dalam memperjuangkan hak.

DOTC dan plan membina ‘Palestin Baru’

Dalam satu artikel yang bertajuk ‘Deal Of The Century Will Not Work’ tulisan Professor As’ad Abd Rahman terbitan Gulf News pada 11 Julai 2019 menyenaraikan beberapa agenda DOTC.

(1)     Sebahagian besar Tebing Barat Palestin akan diberikan kepada Israel.

Penubuhan Palestin Baru akan merangkumi tanah di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat kecuali di tanah yang diduduki oleh koloni Yahudi.

Pelan yang dicadangkan mungkin kelihatan baik pada pandangan pertama, tetapi dari segi nisbah koloni penempatan mereka di Tebing Barat, ia seolah-olah sekadar ilusi.

(2)     Baitulmuqaddis sebagai ibu kota kedua negeri secara lisannya. Dalam keadaan Israel menguasai kawasan bandaran dan tanah tanahnya.

Oleh itu, perancangan mereka ialah menjadikan Jurusalem ibu kota Israel yang sebenarnya, sementara pada masa yang sama menjadi modal penubuhan Palestin baru.

(3)     Antara agenda DOTC ialah menjadikan Gaza sebagai kawasan pemerintahan berasingan, termasuk beberapa bahagian di Tebing Barat dan kawasan bersebelahan Jerusalem Timur.

Tetapi persempadanan itu tidak termasuk Masjid Al Aqsa. Seolah-olah mereka rancang untuk menubuhkan sebuah negeri ‘baru’ yang menggabungkan Gaza, dan beberapa kawasan di Tebing Barat.

Agenda media mempotret keganasan Islam

(1)     Apabila kita melihat berita-berita Barat, masing-masing menyiarkan isu serangan terbaru terhadap Gaza. Atas alasan membanteras militan pengganas

Militan pengganas itu adalah label untuk kumpulan Jihad Islami. Lalu mereka mengisytiharkan ketua militan tersebut baru sahaja terbunuh dalam satu serangan pada 12 November 2019.

Mereka mempotretkan perjuangan hak Palestin adalah keganasan. Seolah-olah dunia wajar gembira dengan kematian ketua Jihad Islami itu.

(2)     Tidak pelik, kerana agenda Deal Of The Century juga diisytiharkan sebagai pelan damai Donald Trump, dan dipotretkan sebagai usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Hakikatnya ia adalah perancangan membina Israel Raya yang semenangnya tertumpu di Palestin. Beberapa jam lepas (ketika artikel ini ditulis) Barat memberitakan bahawa Kumpulan Jihad Islami membalas serangan.

Mereka membalas serangan kononnya disebabkan kematian ketua mereka. Bahkan media mencorakkan bahawa serangan Kumpulan Jihad Islami ini banyak mengorbankan nyawa awam.

(3)     Berita-berita sengal seperti ini seolah-olah mengesahkan label Amerika terhadap mereka. Ini menjadikan Amerika seolah-olah menang dalam Psywar (perang saraf).  – HARAKAHDAILY 15/11/2019

Advertisement