Kehebatan Piagam Madinah dibentang di Ijtimak Tarbawi 7.0

    KUALA KANGSAR: Piagam Madinah telah menjadi kontrak sosial atau perlembagaan atau perundangan bertulis terawal dan terbaik serta menjadi rujukan dunia, selain diakui banyak pihak akan keunikan dan kelebihan serta keistimewaannya.

    Advertisement

    Setiausaha Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud membentangkan khusus perkara itu dalam slot Wacana Tarbawi: ‘Piagam Madinah Model Penyatuan Ummah’ pada Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS Malaysia, hari ini.

    Disimpulkan terdapat tujuh kelebihan Piagam Madinah mengatasi segala kelebihan terdapat kepada perundangan bertulis lain yang ada di dunia ini pada pembentangan di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini.

    Pertama katanya, mempertahankan negara daripada musuh-musuh yang menjadi tanggung jawab semua penduduk dan kedua, mengiktiraf dasar bersatu padu dan tolong-menolong antara masyarakat, jiran dan kabilah.

    “Maknanya, Piagam Madinah diasas untuk melahirkan suatu model ta’awun, takaful yang menjadi model dan manhaj negara. Ketiga, Piagam Madinah dibuat untuk meninggikan prinsip dan dasar keadilan serta kesaksamaan di dalam negara.

    Keempat, jaminan terhadap dasar-dasar untul menegakkan keadilan dan dasar-dasar untuk melaksanakan hal ehwal keagamaan,” kemukanya di hadapan ribuan peserta program tarbiyah ini.

    Kelima menurutnya, penjagaan terhadap keharmonian dan keamanan hidup masyarakat, dengan keenam memberi pengiktirafan terhadap dasar dan hak-hak individu, manakala ketujuh berjanji setia membantu mereka yang dizalimi dalam negara.

    Menariknya ujar beliau, kaum Muslimin ketika itu adalah minoriti dengan hanya 1,500 orang, sedang Yahudi terdiri daripada 4,000 penduduk, sementara Musyrikin adalah majoriti dengan seramai 4,500 orang daripada 10,000 penduduk itu.

    Oleh itu katanya, Malaysia sewajarnya lebih senang untuk diperintah atas majoritinya Melayu-Islam, apatah lagi sudah wujud kefahaman bahawa Melayu itu Islam, termasuk dinyatakan di dalam Perlembagaan.

    Demikian itu juga ujar beliau, menunjukkan hebatnya Rasulullah S.A.W selaku pemimpin negara yang sekali gus menjadi model kepada dunia keseluruhannya termasuk oleh pihak Barat di mana mengambil norma-norma darinya terutama Hak Asasi Manusia.

    Ustaz Asri turut mengingatkan, wahyu Allah yang disampaikan kepada Nabi Muhammad juga merupakan sumber utama undang-undang negara dengan meletakkan ketertinggian Perlembagaan kepada Allah dan Rasul.

    Tambahnya lagi, Piagam itu turut memperakui kebebasan penduduk bukan-Muslim di mana mereka tetap termasuk sebagai warganegara atau ummah yang dipayungi serta diberi hak-haknya. – HARAKAHDAILY 16/11/2019